Moqtada Al-Sadr Pulang Ke Iraq

236

http://buletinonline.net/http://buletinonline.net/v7/wp-content/uploads/2011/01/moqtadaal-sadr.jpgNAJAF: Seorang pemimpin agama puak Syiah berfahaman pelampau, Encik Moqtada al-Sadr, pulang ke Iraq lewat kelmarin dan beliau disambut sebagai wira di ‘kubunya’ di Najaf selepas empat tahun berada di luar negara.

‘Encik Moqtada al-Sadr telah pulang ke rumahnya di Najaf. Beliau tiba pada 3 petang (waktu tempatan) bersama beberapa pemimpin pergerakan Sadr,’ kata satu sumber pergerakan itu sambil menambah bahawa Encik Sadr akan terus tinggal di Iraq.

Ratusan penyokongnya keluar di beberapa batang jalan raya di kejiranan Al-Hanana di Najaf, sebuah bandar di bahagian tengah Iraq – tempat tinggal Encik Sadr – sebagai meraikan kepulangan beliau sambil diawasi pasukan keselamatan.

‘Saya tidak dapat melahirkan kegembiraan saya apabila mendengar berita ketibaan Moqtada,’ kata Encik Mohamed Hussein, 33 tahun, seorang penduduk Najaf.

‘Saya bergegas lari keluar untuk memastikan bahawa Sayyid Moqtada ada di Najaf,’ tambahnya.

Encik Sadr, yang memakai serban hitam yang biasanya dipakai seseorang yang digelar ‘Sayyid’, berkunjung ke makam Imam Ali, salah sebuah tempat yang dianggap suci oleh para pengikut Syiah, diiringi para pengawal peribadinya yang berpakaian kelabu, sebelum pulang ke rumahnya.

Kehadiran Encik Sadr di Iraq akan memastikan bahawa beliau mempunyai suara utuh dalam politik Iraq ketika askar-askar Amerika Syarikat meninggalkan negara itu.

Beliau meninggalkan Iraq pada 2007 sebagai seorang pembelot dan pemimpin gerakan populis tegar dengan anggota-anggota militannya menentang askar-askar Amerika dan Iraq.

Kini Encik Sadr pulang sebagai tokoh yang diterima dengan sah, memimpin sebuah gerakan politik terancang yang menjadi rakan penting dalam pemerintah baru Perdana Menteri Nouri al-Maliki.

Encik Sadr juga boleh memberikan tekanan kuat ke atas perdana menteri itu – dan dijangka meminta supaya tiada seorang pun askar Amerika yang tinggal di Iraq melewati tarikh terakhir pengunduran tentera kuasa besar itu yang dijadualkan pada akhir tahun ini.

Namun, kepulangannya juga menimbulkan kekhuatiran di kalangan penduduk Iraq, khususnya puak Sunni yang masih ingat dengan jelas pembunuhan puak mereka oleh anggota militan Tentera Mahdi yang dipimpin Encik Sadr, dan percaya beliau diperalatkan oleh Iran. — AFP, AP