MN Umum Perkara Penting Pada 15 Ogos

183

Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 8 Ogos – Muafakat Nasional (MN) dijangka akan membuat pengumuman besar pada hari ulang tahun penubuhan gabungan itu, 15 Ogos nanti.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara tersebut sudah disepakati oleh gabungan tersebut dalam mesyuarat MN baru-baru ini dan akan dihebahkan kepada umum pada waktu yang sesuai.

“Kita ada berita yang sangat gembira untuk semua, insya-Allah akan diumumkan pada malam ulang tahun MN nanti.

“Kepimpinan utama akan umum, saya tak boleh umum lagi berita itu,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini hari ini.

Menurut Tuan Ibrahim, mesyuarat berkenaan juga bersetuju untuk berentap dalam pilihanraya umum ke-15 (PRU15) secara dua penjuru.

“Insya-Allah itu komitmen kita, kita akan berhadapan dengan PH secara satu lawan satu.

“Kita juga setuju supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri selepas PRU15, ini pengorbanan besar PAS dan UMNO, yang ada jangan kedekut, yang meminta jangan tamak,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menggesa supaya ahli di peringkat bawahan memperkemaskan gerak kerja bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)

“Patuh kepada arahan pimpinan, ada perkara yang pimpinan nampak, tetapi kita tidak nampak.

“Di kawasan akan nampak di peringkat kawasan, di negeri juga begitu, tetapi pimpinan pusat akan melihat seluruh negara sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Jangan kerana kita tuntut (hak) cawangan, kawasan dan negeri kita, matlamat besar kita akan hancur,” tambah beliau.