Misuari isytihar Sabah Sarawak sebahagian ‘Republik Bangsa Moro’

319

Pengerusi dan pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (Moro National Liberation Front – MNLF), Nur Misuari, telah mengisytiharkan Sarawak dan Sabah sebagai sebahagian daripada Republik Bangsa Moro (BMR), menurut laporan akhbar The Philippne Star, kelmarin.

Sehubungan itu, jurucakap MNLF Emmanuel Fontanilla berkata, pihaknya sedia mengerahkan kira-kira 4,000 pejuang Tausug yang dilatih di luar negara, yang kini berada di Sabah dan Sarawak, Malaysia, kata jurucakap kumpulan itu, Emmanuel Fontanilla, kepada akhbar The Philippine Star, kelmarin.

[Gambar atas – Gambar tidak bertarikh Misuari bercakap dengan dengan anggota bersenjata MNLF sebagaimana dipaparkan dalam akhbar The Philippine Star]

Fontanilla berkata pengerahan para pejuangnya itu bertujuan melindungi puak Tausug, yang didakwanya telah menjadi sasaran tindakan keras pihak berkuasa Malaysia, baru-baru ini.

Menurut akhbar harian Filipina itu, Fontanilla berkata para pejuang MNLF itu adalah tambahan kepada Tentera Kesultanan Sulu yang dipimpin oleh Agbimuddin Kiram, saudara lelaki kepada Sultan Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu, yang pernah memimpin pertempuran bersenjata di Sabah untuk menuntut semula tanah nenek moyangnya.

Bagaimanapun, Fontanilla berkata bahawa para pejuang MNLF itu hanya akan bertindak untuk mempertahankan diri daripada sebarang serangan pasukan keselamatan Malaysia.

Beliau enggan memberikan butir-butir terperinci bagaimana kumpulan tentera yang digelar sebagai ‘Tentera Bangsa Moro di Malaysia’ itu diaktifkan.

Tetapi, satu sumber mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya lima negara sedang menyokongnya dengan pengiriman senjata api yang tiba di wilayah yang dipertikaikan itu.

“Seperti apa yang berlaku pada awal 1970-an pada kemuncak konflik Mindanao, Sabah dan Sarawak akan menjadi pangkalan utama Tentera Bangsa Moro,” kata sumber itu, seperti yang ditukil oleh akhbar Filipina tersebut.

Sumber itu berkata MNLF telah, sejak awal 1970-an, membentuk kem-kem gerila dan latihan di Sabah, dengan persetujuan kerajaan Malaysia ketika itu.

Sumber itu menambah, banyak kiriman senjata api juga dikirimkan kepada MNLF di Mindanao beberapa minggu sebelum Nur Misuari mengisytiharkan pembebasan daerah Talipao, Sulu, bulan lalu.

Fontanilla, bagaimanapun, menafikan pengiriman senjata itu sambil berkata laporan itu adalah sebahagian daripada propaganda negatif terhadap MNLF. – Agensi.