Misi Menumbangkan PH: Menaufan Tsunami Perubahan Politik Di Tanjung Piai

311

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Kurang daripada seminggu maka Tanjung Piai akan memilih, jika disukat dengan aura himpunan politik maka momentumnya jelas terpancar PH akan tewas lagi dalam PRK ini. Kerakusan mempertahankan pengaruh PH maka kelihatan mereka melanggar apa sahaja peraturan Pilihanraya, menyalurkan bantuan dan sumbangan semasa kempen berjalan seolah sebagai Menteri mereka kebal undang-undang.

Pemimpin PH tanpa sepicing rasa malu terus menggugut rakyat agar menyokong mereka , melakukan intimidasi berterusan seolah politik perkauman dan agama akan menghancurkan masa depan negara. Cukup kontradik dengan laungan retorik mereka selama ini, penyebab sebenar mengapa suburnya politik komunal negara ini.

PRK Tanjung Piai bakal melakar sejarah, mendapat liputan media daripada dalam dan luar negara termasuk perbincangan hangat dimedsos. Berlangsung PRK ini dalam usaha kempen untuk menurunkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, pertembungan dalaman PKR yang tak mampu disembunyikan, berantakan pemilihan PAN diseluruh negara dengan menyaksikan kerusi terbang dan adengan bertumbuk sesama ahli. Musuh politik PAS dan UMNO seperti sawan dan terpanar dengan pemilihan tokoh MCA sebagai calon PRK Tanjung Piai, tak sepi mereka menilai dengan mata lalat dan menghujam dengan penuh nafsu. PAS paling teruk diserang oleh puak PH seolah kontitusi ini ditandingi oleh calon PAS.

Kebanyakan serangan dan pembunuhan karektor daripada pemimpin PH, terutama pemimpin PAN ialah bagaimana PAS menjadi singkat ingatan terhadap kezaliman UMNO terhadap PAS selama ini, Memali, royalti minyak terhadap kerajaan PAS, pengucilan terhadap kerajaan Kelantan, dan lain-lain. Mereka cuba mengambarkan MCA adalah penentang Undang-Undang Islam seolah mereka pula pejuang -pejuang tegar Syariah. Lihat sahaja ceramah Mahfoz Omar di Tanjung Piai yang menyerang Presiden PAS dengan hujjah yang dangkal sehingga saya terfikir betapa ruginya kantung negara membayar elaun Timbalan Menteri dengan tahap intelektual sebegitu rendah!.

Usaha menimbulkan keraguan kepada pemuafakatan ummah juga membandingkan dua orientasi berbeda bagi dua parti yang selama hampir tujuh dekad bertarung di pentas demokrasi. Ironis pula di Tanjung Piai digambarkan pula pemuafakatan ini membahayakan bukan Melayu seperti diucapkan oleh Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian yang juga anak jati Tanjung Piai.

Paling takut ialah pemimpin DAP yang cuba mengambarkan pemuafakatan ini akan menyebarkan rasa permusuhan antara kaum dan menyuburkan polarisasi kaum. Ketakutan DAP dengan pantas disambung oleh parti PAN, khadam politik mereka yang paling setia. Lihatlah kegelabahan mereka seolah langit akan menghempap negara ini dan terbakar menjadi padang jarak padang tekukur. Naratif yang dibawa oleh pemimpin PH bahawa PAS ditunggang oleh BN, PAS menjadi “sabun pembersih” kepada BN.

Dalam persaingan politik jangka panjang, semua pertimbangan risiko perlu diambil kira dan menganalisa unjuran strategik namun jika berfikir dalam konteks kesan jangka pendek maka kita ditempias dengan emosi. Unjuran strategik dan kerjasama berdasarkan realiti semasa untuk mengambil alih pemerintahan Malaysia wajar dilihat juga komposisi demografi negara ini. 25 peratus atau paling kurang 20 peratus undi kaum Cina perlu dikembalikan pada jalur sederhana politik, rakyat perlu diinsafkan bahawa politik etnosentrism, bentrokan kontrak sosial yang digerakkan oleh DAP merbahaya untuk negara ini untuk jangka masa panjang.

Pemimpin PH wajar bercermin diri apatah lagi ucapan-ucapan lampau mereka terekod kemas di alam siber. Janji-janji Manifesto PH jaun daripada dilunaskan, malah hutang negara yang semakin menumpok, jurang antara kaum semakin melebar, FDI yang semakin merosot mengheret kepada isu–isu hiliran yang lain seperti pengganguran, semakin membesar kelompok B40, nilai ringgit yang menjunam serta imej kekelamkabutan pentadbiran kerajaan yang jauh daripada utopia pemerintahan ” tatakelola kerajaan yang baik”.

Sejujurnya, PRK Tanjung Piai ini aroma kekalahan semakin kuat menyerbu deria bau kita semua. Pemimpin PH tidak perlu menekan butang panik dan menunjukkan kelemahan akal fikir mereka, tak perlu berkempen dan merespon secara berlebihan kerjasama PAS-UMNO melalui perpaduan ummah atau Muafakat Nasional. Meratib bagasi sejarah Umno yang penuh pengkhianatan terhadap pembangkang, salah urus, kebejatan dan pelbagai kebobrokan lain. Jangan buat-buat lupa juga, selama 22 tahun sejarah Umno adalah di bawah pemerintahan Tun Mahathir juga tokoh-tokoh lain seperti Anwar, Muhyidin Yasin.

Pemuafakatan Nasional bukan sahaja untuk meneguhkan politik Islam Melayu negara ini, namun menjalin hubungan dengan kaum-kaum lain bagi memastikan negara ini di landasan yang betul. Rakyat yang gelisah dan marah dengan prestasi PH dalam tempoh 18 bulan ini tidak akan mencoblos calon PH walaupun puluhan juta wang dilonggokkan di Tanjung Piai. Mesej rakyat untuk PH, kamu hanya kerajaan sepenggal dan nikmatilah masa yang masih berbaki untuk dua tahun setengah ini, itu pun jika tidak tumbang dipertengahan jalan!.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)