MetMalaysia Jangka Hujan Lebat Di Kelantan, Terengganu Dan Pahang

242

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan sehingga esok.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon, berkata hujan taburan hujan berkenaan tidak konsisten, namun berterusan secara sederhana dan lebat.

“Ya, kami menjangkakan hujan lebat yang sedang berlaku di sebelah utara Kelantan dan tengah Terengganu akan berterusan sehingga esok. Hujan ini akan sekejap lebat, sekejap sederhana.

“Mulai esok petang pula kami menjangkakan ia akan berkurangan di Kelantan dan utara Terengganu, tetapi kemungkinan timur Pahang dan selatan Terengganu pula akan mengalami hujan yang sederhana lebat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

MetMalaysia sebelum ini mengeluarkan kenyataan dua negeri di Pantai Timur itu akan mengalami cuaca buruk dengan menerima hujan sangat lebat secara berterusan sehingga esok.

Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan, serta Besut dan Setiu di Terengganu.

Cuaca buruk itu turut melanda Jeli dan Kuala Krai, Kelantan; Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu serta Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.

Amaran waspada turut dikeluarkan dengan hujan lebat dijangka berlaku sehingga esok di Gua Musang, Kelantan; Jerantut, Pahang; serta Mersing dan Kota Tinggi di Johor.- BH