Menteri Agama Digesa Tidak Menormalisasikan Penindasan Umat Islam Uighur

304

Pihak Asian Federation of Muslim Youth (AFMY) melahirkan rasa bimbang terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang dilihat menormalisasikan kewujudan ‘pusat latihan dan vokasional’ bagi masyrakat Uighur di Xinjiang, yang secara realitinya adalah pusat tahanan dan penindasan kepada etnik tersebut.

Menteri Agama dalam laman sosialnya bertarikh 26 Jun 2019 menyatakan pusat tahanan tersebut sebagai pusat melaksanakan aktiviti latihan perindustrian dengan pelbagai kemahiran seperti menjahit, kelas perundangan, seni, gubahan, bunga dan sebagainya.

Kemudiannya pada 27 Jun 2019, ketika memberi ucapan bertempat di Beijing Foreign Studies University, beliau menyebut antaranya “False news in China about muslims been oppressed could trigger a wave of sympathy to the oppressed and affect relationship”.

Kenyataan tersebut mengundang persoalan adakah Menteri Agama sebenarnya tidak peka berkenaan isu penindasan Muslim di wilayah Xinjiang. Sehinggakan hanya dengan satu lawatan ke pusat tahanan tersebut telah menjadikan isu yang selama ini menyentuh hati nurani umat Islam tidak lagi menjadi suatu yang sensitif.

Kenyataan Menteri Agama ini jauh berbeza dengan apa yang dinyatakan oleh Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu pada di Forum Geneva berkenaan Hak Asasi Manusia pada 25 Februari 2019: “Laporan bahawa pencabulan hak asasi manusia terhadap etnik Uighur dan masyarakat Muslim lain di Xinjiang adalah suatu kebimbangan yang serius”.

Sebelumnya pada 10 Februari 2019, desakan yang lebih keras lagi telah dikeluarkan oleh jurucakap Kementerian Luar Turki Hami Aksoy: “It is no longer a secret that more than one million Uighur Turks, who are exposed to arbitrary arrests, are subjected to torture and political brainwashing in concentration centres and prisons. We invite Chinese authorities to respect fundamental human rights of the Uighur Turks and shut down concentration camps”.

Pihak Menteri Agama seharusnya lebih bijak dalam memberi kenyataan. Jika tujuan kenyataan tersebut adalah untuk memperbaiki hubungan diplomatik antara Malaysia-China, maka itu adalah urusan Kementerian Luar Negeri dan bukannya tugas Menteri Hal Ehwal Agama.

Seharusnya Menteri Agama menunjukkan sikap konsisten dengan tindakan kerajaan Malaysia pada 2018, yang membebaskan 11 etnik Uighur yang melarikan diri ke Malaysia. Walaupun didesak untuk diserahkan kembali kepada Beijing, Malaysia mengabaikan permintaan tersebut dan mengambil sikap terpuji dengan menghantar 11 pelarian Uighur itu ke Turki.

“Awakening of Asian Muslim Youth”

Dr Abdul Muntaqim Abu Bakar
Presiden
Asian Federation of Muslim Youth (AFMY)
30 Jun 2019