Menjelang Kongres PBSNT; Calon Presiden perlu ‘bebas politik’

364

Timbalan Presiden PBSNT Sheikh Ahmad Tajuddin berkata struktur Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dijangka akan mengalami perubahan besar apabila badan bola sepak negeri itu mengadakan Kongres Tahunan Luar Biasa bagi memilih pucuk pimpinan baharu persatuan itu pada 14 Sept.

Menurutnya pada persidangan tahunan luar biasa itu nanti, dua jawatan utama dalam persatuan itu dijangka akan menjadi fokus utama persidangan iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang kini masing-masing disandang oleh Datuk Che Mat Jusoh dan beliau sendiri.

[Gambar atas – angkata politik…….Stadium ‘buruk’ terpaksa dijadikan ‘venue’ rasmi pasukan bola sepak negeri terengganu apabila stadium baru bernilai RM300 juta di Gong Badak runtuh]

Sehubungan itu, walaupun Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia Rozi Mamat berkata kerajaan negeri tidak akan mencampuri urusan pemilihan kepimpinan baru PBSNT, ia tetap akan dicemari dengan tangan-tangan politik apabila dua tokoh Umno disebut-sebut akan dipilih sebagai ‘pengemudi’ baru PBSNT.

Lobi telah diatur di laman sosial yang menyebut beberapa nama sebagai calon Presiden PBNST yang baharu antaranya Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kemaman Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid

C‘Badi’ yang melanda arena suka di negara ini apabila pemilihan orang-orang politik menerajui persatuan-persatuan sukan mengakibatkan acara sukan tersebut ‘terheret’ ke kancah politik.

Ahli-ahli politik, terutamanya Umno, amat gemar meraih populariti melalui persatuan sukan bagi meningkatkan nama mereka dan menambahkan kepentingan mereka dalam projek-projek berkaitan sukan.

[Gambar kanan – bila kah peminat bola sepak negeri Terengganu dapat menyaksikan kembali kegemilangan pasukan sebagaimana pasukan pada tahun 2001 yang menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah]

Sedangkan di negara-negara yang maju sukannya, industri sukan diterajui oleh mereka yang profesional dibidang-bidang berkenaan.

Dalam perlawanan pusingan Piala Malaysia bagi pasukan bola sepak negeri Terengganu tinggal berbaki hanya dua lagi, perubahan kepimpinan tidak mungkin dapat melonjakkan kedudukan pasukan Terengganu.

Dengan hanya menang sekali selepas empat perlawanan dalam kumpulan ‘C’, bersama Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan, pasukan Terengganu kini berada di tempat ‘tercorot’.

Prestasi T-Team juga tidak dilihat begitu menyerlah dan kedua-dua pasukan yang penajaan utamanya dari ‘kocek’ kerajaan negeri Terengganu itu hanya dilihat bakal mengulangi kegagalan sebagaimana tahun sebelumnya.

Kontoversi yang bertimpa-timpa melanda Persatuan dan pasukan bola sepak negeri Terengganu memerlukan calon Presiden baru PBST seorang yang benar-benar mempunyai kepakaran dalam pegurusan bola sepak terutama bidang ‘penyelesaian masalah’.

Bidang sukan terutamanya bola sepak yang menjadi sukan ‘kesukaan’ ramai, sudah menjadi sebuah industri yang sepatutnya dapat menjana hasil dan mampu diuruskan sendiri oleh persatuan terbabit.

Sedikit pemikiran ‘business-minded’ mungkin juga diperlukan oleh bakal penerajui PBSNT, sekiranya mahu melihat prestasi yang lebih baik pada masa akan datang.

Ahli-ahli politik mempunyai masa yang terhad bagi menguruskan sebuah persatuan sukan secara profesional dan lebih baik menumpukan sepenuhnya masa menyelesaikan masalah rakyat di kampung-kampung.

Ia lebih baik kepada semua pihak, yang mengharapkan perubahan besar dalam pentadbiran dan pengurusan PBSNT setelah tokoh poltik yang menerajui PBSNT sebelum ini jelas gagal membawa kecemerlangan kepada bola sepak negeri Terengganu.