Menjadikan Terengganu Maju, Berkat Dan Sejahtera Adalah Tanggungjawab Bersama

659

KUALA TERENGGANU – Sebagai rakyat Malaysia, khasnya rakyat Terengganu, menjadi tanggungjawab bersama untuk membangunkan Terengganu ke arah negeri maju, berkat dan sejahtera.

Ketua Muslimat PAS Terengganu, Hajah Zarani Othman mengingatkan ahli dan penyokong bersedia mendepani cabaran yang hebat pada masa hadapan dengan ‘memasakkan’ niat serta azam yang kukuh dan padu.

“Agar kehidupan kita tidak hanyut dengan ujian duniawi untuk mendapat keberkatan dari Ilahi.

“Sesungguhnya matlamat tidak menghalalkan cara. Islam mesti diperjuangkan untuk kesejahteraan umat manusia, ” tegasnya.

Beliau berkata demikian di dalam satu kenyataan sempena Tahun Baharu 2019, di sini pada 1 Januari.

Beliau yang juga Ketua Muslimat Marang turut berharap agar prinsip beragama tidak digadai, semata-mata untuk mencapai keinginan dan impian peribadi.

“Segalanya haruslah diiringi pra-syarat yang tidak bertentangan dengan syariat agama Islam tercinta,” jelasnya.

Hajah Zarani mengimbau kembali bermacam-macam kenangan, suka dan duka di tahun 2018 yang membawa perubahan landskap politik negeri dan negara, selepas pilihan raya umum ke-14.

Mewakili warga kerja Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, beliau merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru 2019 dan mendoakan semoga tahun baru ini hadir bersama niat dan tekad baru.

“InsyaAllah menjadikan kita semua lebih baik daripada tahun sebelumnya, amal kita diterima Allah sebagai amal soleh dan hidup kita sentiasa dalam bimbingan llahi,” katanya.