Mengintai Mesir Dari Balik Tirai – Bahagian 3 Akhir

192

Setelah as-Sisi secara rasminya mengambil jawatan Presiden Mesir secara rampasan dan pembunuhan rakyatnya, beliau telah menjalankan beberapa perancangan yang jelas memberikan kerugian kepada negaranya, tetapi menguntungkan beliau. Ini mungkin kerana desakan dan tekanan oleh pihak yang membantunya memenangi kerusi Presiden dengan cara yang jahat itu. Pastinya dapat dibayangkan, apabila menang dengan cara keji, ianya akan sentiasa dibayangi kejahatan lain.

Antara perkara yang merugikan itu ialah penyerahan dua buah pulau milik Mesir kepada Arab Saudi. Pulau-pulau itu ialah Tiran dan Sanafir. Kedudukan dua buah pulau itu yang sangat strategik di muka pintu masuk ke pelabuhan Eilat, Israel melalui Teluk Aqabah, menyebabkannya menjadi rebutan. Walaupun sudah jelas ia milik Mesir, namun, Saudi yang telah menghulurkan bantuan wang kepada as-Sisi bagi rampasan kuasa itu, akhirnya mendapatnya.

Alasan as-Sisi ketika memberi penerangan mengapa beliau menyerahkan Tiran dan Sanafir itu kepada Arab Saudi ialah beliau menegaskan bahawa pulau-pulau itu sememangnya milik Saudi sejak mula. Ibunya mengajar beliau untuk mengembalikan hak orang, dan tidaklah elok akhlak seseorang jika mengambil hak orang dan kemudiannya tidak memulangkannya semula. Begitulah saya diberitahu, bagaimana as-Sisi memberikan helahnya di TV. Alih-alih, dia pula yang nampak baik.

Akibat daripada serahan ini, laut berhampiran, menjadi kawasan zon antarabangsa yang mana dahulunya ia adalah laut kepunyaan Mesir kerana kedua-dua buah pulau itu terletak dalam negara mereka. Maka, kapal-kapal sekarang, bebas bergerak jika ingin ke Teluk Aqabah. Mesir tiada kuasa atas jalan air yang penting itu. Sekaligus memberikan kegembiraan kepada Israel kerana bebas keluar masuk. Tetapi, bukankah kedua pulau itu milik Saudi? Ya, ini sesuatu yang amat mengujakan untuk dibahaskan, mengapa Saudi begitu pemurah kepada Israel? Tetapi bukan di sini dan ketika ini.

Agak menarik untuk dibincangkan isu lain dalam temuramah saya dan rakan-rakan saya ini ialah mengenai kewujudan terowong-terowong bawah tanah dari Mesir ke Gaza dan sebaliknya. Sememangnya kita sedia maklum yang banyak terowong yang dibina di antara Gaza dan Mesir, satu-satunya pintu keluar bagi penduduk Gaza, kerana di seluruh kawasan lain di Palestin, telah dikepung oleh kependudukan haram Israel. Maka Mesir begitu penting bagi penduduk Gaza untuk berhubung dengan dunia luar.

Antara daerah atau perkampungan yang terdekat dengan sempadan Gaza ialah Rafah. Kita pernah mendengar akan tindakan kerajaan Mesir memusnahkan terowong-terowong yang menyambungkan Gaza dan Mesir. Ya, memang benar ia dimusnahkan tetapi bukan semua. Pernah as-Sisi memusnahkan 14 perkampungan termasuk Rafah dan Arish dengan alasan menjejaki teroris di sana. Habis hancur perkampungan itu dikerjakan tenteranya, kata rakan saya.

Tetapi, sebagaimana yang didedahkan oleh rakan-rakan saya, tindakan itu hanya tipu helah as-Sisi sahaja. Beliau memusnahkan perkampungan itu supaya penduduknya lari ke kawasan lain. Rafah dan Arish dijadikan as-Sisi sebagai pusat aktiviti penyeludupan yang paling besar bagi Mesir dan Gaza. Aktiviti ini sangat menguntungkan as-Sisi dan kroni beliau, dengan anggaran sebanyak USD45 juta sebulan didagangkan. Sebab itu penduduk Rafah dan Arish dihalau, agar tidak mengganggu aktiviti mereka.

Dakwaan ini bertambah kuat kerana ia disebut sendiri oleh salah seorang bekas senator di Sinai, Mus’ad Abu Fajr bahawa penyeludupan ini dikuasai oleh syarikat kepunyaan Mahmud as-Sisi, anaknya. Mus’ad telah melarikan diri ke luar negara apabila mendedahkan hal ini. Barang-barang keperluan, ubat-ubatan dijual dengan harga berlipat kali ganda. Mereka tahu yang ada wang yang sangat banyak masuk ke Gaza dan jika wang itu tidak digunakan untuk perniagaan, maka ia tiada nilai.

Bagi menambahkan lagi peluang keuntungan, maka as-Sisi mengebom sebahagian terowong dan membiarkan sebahagian lagi. Jadi jumlah terowong semakin sedikit, dan syarikatnya yang mengawal terowong yang ada, maka maklumlah kita bagaimana keuntungan yang tidak masuk akal, diperolehi mereka. Begitulah cara mereka mengutip wang dari kesusahan rakyat. Difahamkan, perniagaan ini juga disertai Israel, menumpang mengaut keuntungan.

Taktik merampas wang rakyat Palestin ini membawa ingatan kita kepada Yasir Arafat, pemimpin utama PLO dahulu. Beliau mengahwini seorang Kristian ortodok, Suha Daoud Tawil (dikatakan berketurunan Yahudi) yang kemudiannya memeluk agama Islam. Beza umur sejauh 34 tahun, tidak menghalang cinta murni mereka.

Akhirnya Arafat meninggal dan berbilion wang PLO juga lesap bersama isterinya. Namun beza dengan penduduk Gaza kini ialah, mereka diperas dengan harga barang yang mencekik darah, bukan diseleweng. Manakala wang tabungan PLO pula dicuri. Apapun, kita wajib membantu Gaza, sebab kalau tiada wang, lagi mereka susah.

Atas alasan inilah juga mungkin tiada sebarang bekalan dibenarkan dibawa melalui jalan lain seperti yang cuba dibawa oleh pasukan sukarelawan menggunakan kapal Freedom Flotilla contohnya yang membawa barangan keperluan dan ubat-ubatan ke Gaza. Ia sangat mudah difahami, jika dibawa secara percuma begitu, maka rugilah perniagaan penyeludupan mereka ini.

Mesir juga, melalui as-Sisi telah dibawa bersama masuk ke dalam agenda Deal Of The Century (DOTC)yang diarahkan drama ini oleh Donald Trump yang menggunakan menantunya Jared Kushner sebagai pelakon utama. DOTC ialah kononnya satu pelan pembangunan ekonomi oleh Trump kepada Palestin. Trump menawarkan sebanyak USD50 bilion untuk disalurkan kepada Palestin, bagi memastikan kejayaan pelan ini. Namun, ianya ditolak mentah-mentah oleh seluruh rakyat Palestin samada Hamas mahupun PLO. Pertemuan di Bahrain telah gagal dengan ketiadaan wakil Palestin.

Pelan itu sangat jelas bagi mereka, hanyalah untuk memberikan keistimewaan kepada Israel selain daripada mengiktiraf al-Quds sebagai ibukota Israel. Antara rancangannya yang lain ialah, memindahkan perlahan-lahan penduduk Gaza ke arah barat iaitu masuk ke Rafah di Mesir. Maksudnya, Mesir dikatakan bersetuju memberikan penduduk Gaza kawasan negaranya di Sinai yang dianggarkan seluas 1600km persegi untuk didiami. Terang rakan saya lagi, Rafah dan Arish sedang dikosongkan dengan bantuan tentera Israel, bagi tujuan ini.

Manakala Israel akan mengambilalih tanah di Gaza. Jika ini benar berlaku, bermakna rakyat Palestin menjadi pelarian secara sistematik. Apa jaminan tanah itu tidak akan dituntut kembali oleh Mesir? Kalau ia dituntut, ke mana rakyat Gaza akan pergi? Ke timur, ia milik Israel, ke barat dan selatan, ia milik Mesir, ke utara pula laut. Kita hanya mengharapkan agar rakyat Gaza kuat dalam menentang kejahatan ini. Kita hanya mampu membantu dari jauh selain berdoa.

Inilah keadaan umat Islam sekarang di negara mereka sendiri. Bagi manusia yang masih tidak sedar akan kepentingan untuk menguasai politik, sesungguhnya tanpa ragu, dia adalah makhluk yang tidak berguna. Lebih merosakkan jika mereka berusaha mempengaruhi orang lain dengan ideologi yang didakwa sebagai ‘keamanan’ tanpa politik ini. Golongan ini rebah sebelum ke medan perang. Amat disukai oleh musuh-musuh Islam kerana kalau salah perkiraan, mereka akan berperang dengan kita dahulu, kerana alasan politik itu kotor.

Kelicikan musuh dalam menarikan rentak politik menjadikan kita terikut-ikut dengan irama mereka. Masih kita mengatakan politik itu bukan untuk agama sedang bukti jelas, setiap pergerakan musuh, tidak akan diatur, kecuali bagi keuntungan agama mereka. Kita diheret masuk ke gelanggang mereka. Kita hanya kuat, tidak boleh dipermainkan jika kita meletakkan Islam itu sebagai sasaran utama dalam kehidupan ini. Ia sudah dibuktikan, ia sudah dipertontonkan oleh ulamak-ulamak terdahulu yang berpencak dalam dunia politik.

Kisah Mesir ini adalah kisah yang sama berlaku di mana-mana dunia Islam apabila politik negara dicampuri pihak kafir. Ia berkenaan merebut harta negara, memperbodohkan orang Islam dengan rancangan-rancangan mereka, mengubah sistem, menukar sejarah, mengambil kedudukan strategik dan akhirnya menukar aqidah secara diam-diam atau paksaan. Dan jika tidak mampu, mereka rosakkan pemikiran muda mudi yang bakal menerajui negara nanti. Dan rancangan kafir ini akan wajib dibantu oleh kaum sebangsa dan seagama kita yang kita kenal sebagai munafik.

https://www.bbc.com/news/world-middle-east-40278568

Mohd Nasir Abdullah
4 Oktober 2019