Mengenang Tiga Tahun ‘Kepulangan’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz

409

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Masa begitu pantas berlari meninggalkan kita,detakan jarum jam terus berputar tanpa menghiraukan hiruk pikuk dan carut marut dunia ini. Telah tiga tahun sang maestro dakwah dan siasah ini telah meninggalkan kita dengan seribu keteladanan, menoreh sejarah emas dalam perjuangan Islam di negara ini.

Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Mursyidul Am PAS yang kedua , juga mantan MB Kelantan yang telah merubah wajah kerajaan Kelantan yang dimenangi oleh PAS dan APU dalam tahun 1990.

Sosok ini berjaya membudayakan al Quran dalam masyarakat, bukan sahaja dengan pengajaran tafsir al Quran, namun berjaya menggalakkan masyarakat Melayu menghafal al Quran. Semenjak pulang dari Asia Barat setelah bermukim ilmu, beliau sangat obses dengan pendidikan Islam. Tak lengah dan tak lelah, terus menceburi bidang pendidikan Islam dan bercita-cita untuk membentuk generasi al Quran di tanahair ini. Sekolah agama Darul Anuar adalah manifestasi keseriusan beliau dalam membangun pendidikan al Quran, juga dengan zuriat beliau yang ditekankan pendidikan al Quran.

Menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, telah membuka ruang yang luas untuk almarhum merealisasikan cita-citanya. Beliau memberikan fokus kepada sekolah-sekolah agama di Kelantan, terutama maahad tahfiz yang akhirnya berkembang menjadi fenomena negara ini. Hasrat beliau agar Kelantan kekal dengan reputasi sebagai ‘Serambi Mekah’ yang meranum subur dengan ilmu-ilmu pengajian Islam dan al Quran.

Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al-Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas dikalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz al-Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.

Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang  mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al-Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Matlamat penubuhan Maahad Tahfiz Pulai Condong ialah untuk melahirkan generasi yang celik al-Quran secara bersistematik, melahirkan pelajar-pelajar yang berpegang kepada al-Quran dan juga memberi kesedaran betapa pentingnya pendidikan al-Quran bagi mengimbangi tuntutan semasa. Matlamat lain yang ingin dicapai ialah melahirkan ulama hafiz yang mampu memahami isi kandungan al-Quran serta memelihara al-Quran daripada sebarang bentuk penyelewengan.

Sehingga kini Kelantan mempunyai lebih daripada 100 buah sekolah tahfiz akibat rangsangan dan pemupukan yang berterusan daripada kerajaan negeri. Antara sekolah tahfiz yang telah beroperasi ialah Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat di Repek Pasir Mas, Maahad Tahfiz di Kampung Slow Machang Pasir Mas, Al-Imam International Institute di Kubang Kerian, Kota Bharu, Maahad Tahfiz Ummu Qura di Kampung Kolam Kota Bharu, Maahad Tahfiz Sains dan banyak lagi yang didirikan di setiap daerah di Kelantan.

Maahad Tahfiz Pulai Chondong merupakan sekolah tahfiz paling cemerlang, bukan sahaja dalam peperiksaan awam, tetapi juga kerana menjadi model untuk kurikulum bagi sekolah-sekolah tahfiz di Brunei, Johor, Selangor, Terengganu dan Pahang.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengasaskan juga Maahad Tahfiz Nikmatillah yang terletak di Pulau Melaka dengan matlamat ‘sebuah keluarga seorang hafiz’ bagi rakyat Kelantan. Tahfiz ini mula beroperasi pada tahun 2004 dan menerima pelbagai latar belakang akademik (tidak semestinya cemerlang dalam UPSR). Ini bertujuan supaya ruang yang luas dapat diberikan kepada pelajar yang berminat mendalami pengajian al-Quran.

Almarhum telah meninggalkan kita semua dengan jasa yang besar, menjadi cermin keteladanan yang memantulkan keseimbangan watak siasah, dakwah dan tarbiah. Abnaul harakah PAS wajar  melanjuti apa yang almarhum tinggalkan, menggerakkan jihad ta’lim sepenuh hati sehingga kefahaman Islam meratai seluruh sektor masyarakat. Menghasilkan para huffaz yang juga sebagai kelompok profesional dan aktivis Islam, bukan sekadar memimpin solat berjemaah tetapi memandu manusia ke arah menegakkan pemerintahan berlandaskan al Quran.

Generasi muda wajar mengkaji sejarah hidup almarhum membangunkan Kelantan ,dengan kekangan regim UMNO BN yang pada masa itu diterajui oleh Tun Mahathir. Kelantan dikucilkan kerana iltizam almarhum kepada Islam, rakyat Kelantan didera kerana menyokong PAS dan meletakkan almarhum Tuan Guru sebagai pemimpin utama kerajaan negeri jantung hati orang Melayu ini.

Kelantan menjadi kampus politik terbuka dan negeri yang menjadi tadahan wahyu dengan erti kata lain,merealisasikan suruhan al Quran dan mencegah kemungkaran dengan bidang kuasa yang dimiliki oleh Tuan Guru dan kerajaan negeri. Moga sosok murabbi ini damai di alam abadi dan kita mengambil ibroh daripada kesungguhan beliau membangunkan Islam dalam setiap jiwa rakyat Kelantan dan juga pendokong PAS.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)