Mengapa PJ Bukan MB, MB Bukan PJ? Bahagian Dua

249

Calon Paracut

Dalam bahasa politik, calon paracut atau payung terjun bermaksud sebagai calon yang datang dari luar kawasan. Ia bukan calon pilihan akar umbi setempat. Biasanya mereka tidak mempunyai penyokong yang kuat. Ada sebab calon paracut ini diturunkan. Dalam parti lain, ia sangat merbahaya kerana bisa sahaja calon paracut itu akan kalah dikhianati calon kegemaran setempat. Seolah-olah datang entah dari mana, tiba-tiba mahu mengambil tempat orang. Tetapi, tidak bagi PAS. Sudah terbukti dalam banyak PRU, calon-calon paracut PAS, tidak dikhianati. Inilah kesan wala’ ahli PAS kepada keputusan pimpinan mereka. Ia dicemburui lawan.

Saya mula menyedari bahawa DS Dr. Samsuri sebagai calon paracut PAS Pusat apabila mendapati beliau banyak kali bersama pimpinan PAS Terengganu dalam program ceramah dan lain-lain lagi di merata tempat di Terengganu, yang mana beliau tidak pernah ada dalam senarai penceramah dan juga calon sebelum ini. Tetapi walaupun begitu, PAS Terengganu tetap berhati-hati, apatah lagi hasutan dari bekas ahli-ahli Pas yang belot, mungkin boleh merobek kesetiaan ahli PAS, menolak DS Dr Samsuri. Jadi persoalan timbul, kerusi manakah yang paling sesuai bagi diberikan kepada beliau?

Lantas, Jerteh, tempat kelahiran beliau dicuba. Sebenarnya Jerteh bukan kerusi selamat PAS. Saya juga mendengar tidak semua yang bersetuju, dan ada sedikit penolakan. Ianya hal biasa kerana ahli-ahli lama yang sudah biasa berkerja dengan ketua lama, biasanya akan meminta yang lama dikekalkan. Sebelum diterima, kita sedia maklum pasti akan ada percanggahan pendapat. Apatah lagi dengan masa tidak berapa lama, akan ditiup semboyan PRU, mungkin difikirkan akan sedikit mengganggu tumpuan kerja-kerja Dun.

Ahli PAS pernah meminta agar ditukar calon yang dicadangkan pimpinan sebagaimana pernah ahli PAS Manir mahukan Dato’ Harun Taib kekal. Di Rhu Rendang juga, ahli sangat sedih dan mahu dikekalkan Presiden PAS sebagai calon kerana sayang yang amat sangat. Ia lebih kepada sentimen. Namun seperti mana yang saya sebutkan tadi, apabila dipujuk, diterangkan dan diarahkan, mereka semua patuh dan akur. Berbeza dengan pe’el seorang bekas Adun PAS yang merajuk kerana tidak dicalonkan dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu pada tahun 2009 dahulu. Sekarang alhamdulillah sudah keluar PAS.

YB Ustaz Muhammad Khalil antara individu yang mencadangkan agar DS Dr. Samsuri diletakkan di Rhu Rendang. Saya mendapat tahu apabila pernah sekali berbual kosong dengan beliau bercerita perihal PRU14. Ia bukan rahsia, hanya cadangan manakah kerusi yang sesuai. Saya mengusik beliau, YB nak larilah tu. Dia hanya tersenyum. Begitulah PAS, lari selagi boleh dari jawatan, tidak meminta. Tetapi apabila sudah diamanahkan, pegang sehingga habis kerana ia melibatkan dosa dan pahala.

Kerusi Rhu Rendang ialah kerusi paling selamat selain daripada Batu Burok, Wakaf Mempelam dan juga Manir. Ia terbukti ketika PAS kalah ditipu dalam PRU 11 pada 2004 dahulu, empat kerusi ini sahaja yang selamat dan kekal di tangan PAS sehingga kini. Jadi, memberikan kerusi selamat itu, mengikut strategi, ia menjamin akan kemenangan DS Dr. Samsuri. Batu Burok juga sebenarnya menghadapi sedikit ancaman kerana Adun lamanya mendakwa mempunyai lebih seribu pengundi bersamanya. Jadi ia mungkin tidak selamat sepenuhnya. Dan jika benar peralihan undi berlaku, BN akan menang.

Ia dimaklumkan kepada saya oleh seorang rakan dari parti Umno. Ia mungkin hanya perangkap, tetapi apapun, dalam PRU, semua kemungkinan, mesti diambil kira. Jadi Rhu Rendang dengan faktor Presiden yang mahu menumpukan tugasan di peringkat nasional dan antarabangsa sahaja, menjadikan ianya pilihan terbaik bagi bakal MB ini. Manakala, YB Ustaz Khalil, beliau gagal melarikan diri kerana beliau kemudiannya diamanahkan menjadi calon di Batu Burok, apatah lagi beliau ketika itu menyandang jawatan Ketua Pemuda PAS Malaysia, sudah pasti dia tersenarai. Saya hanya ketawa kerana beliau tidak boleh lari.

Sedikit mengenai Dun Batu Burok yang saya perhatikan. Kebetulan Ustaz Sood Said ialah nama yang diuar-uarkan menjadi calon di Batu Burok sebelumnya. Setelah diarahkan parti untuk YB Ustaz Khalil menjadi calon, beliau kemudiaannya diamanahkan menjadi wakil calon. Saya melihat keindahan akhlak orang PAS ini, beliau tidak menimbulkan kekecohan, tidak puashati, tiada sepanduk dinaikkan penyokongnya bagi menentang keputusan pimpinan. Adakah ketenangan ini akan berlaku dalam parti lain? Anda pasti pernah melihat atau mendengar adegan kerusi terbang ketika pemilihan mereka.

Setelah diputuskan Rhu Rendang bagi DS Dr. Samsuri, saya dapat rasakan ia juga serangan PAS kepada BN, terutama di Besut sedang digandakan. Rakyat mula membandingkan wajah bakal MB dari PAS dengan MB yang ada. Pimpinan PAS membiarkan Jerteh dan Dun-Dun lain di Besut kekal dengan calon kegemaran mereka, tidak diganggu, mengurangkan tekanan kepada ahli dan pimpinan PAS membentuk kerajaan bayangan, sekaligus memperkenalkan calon MB Terengganu, profesional keluaran PAS, kedua dari Besut. Walaupun bukan di Jerteh, orang Besut turut merasa bangga dengan DS Dr. Samsuri sebagai bakal MB. Pan dan PKR, langsung tidak mencabar, hanya menggigit kecil sahaja.

MB pertama keluaran PAS dari Besut tahun 1959 ialah Daud Samad. DS Dr. Samsuri kini dilihat berjaya meyakinkan penjawat awam dan rakyat Terengganu. Ditambah promosi percuma oleh TV kerajaan terdahulu sebelum PRU yang menyiarkan kemampuan beliau sebagai seorang pakar mengkaji hal ehwal aeroangkasa, ketika memberikan pandangan berkenaan kes MH370, ia menjadi nilai tambah kepada beliau. Rakyat Besut sedang bersiap meraikan penabalan MB baharu yang berasal dari daerah mereka.

Bersambung siri akhir….

Mohd Nasir Abdullah
Al-Khor, Qatar
25 Julai 2019