Mengapa PJ Bukan MB, MB Bukan PJ? Bahagian Akhir

139

MB Kepada Rakyat Terengganu

Ianya terbukti kemudiannya apabila beliau memenangi PRU dan menjalankan dengan baik amanah rakyat sehingga kini. Beliau tidak mencipta musuh baru, menjadikan Umno sebagai rakan, sesuai dengan cadangan kerjasama PAS-Umno. Bukan sahaja musuh dari Umno dijinakkan, malah dengan PM, Tun M dari PH juga, beliau menjadi kesukaan Tun. Dimaklumkan, apabila berjumpa dengan Tun, Tun sendiri yang mahukan beliau menyiarkan gambar perjumpaan itu. Beliau juga kemudiannya berjaya membawa balik royalti kembali ke Terengganu.

Dan lihat di sini juga, sikap Presiden PAS, walaupun Tun M tidak memberikan hak royalti kepada kepimpinan beliau pada tahun 1999-2004 dahulu, namun demi rakyat, beliau hadir bersama berjumpa dengan PM, membantu DS Dr Samsuri mendapatkan kembali maruah dan hak rakyat Terengganu itu. DS Dr Samsuri juga tidak mendabik dada mendakwa itu semua hasil kerja beliau seorang. Inilah kerjasama diantara guru dan murid yang diperlihatkan dalam bentuk akhlak dan kerjasama yang baik.

Apabila berdiri menjawab persoalan dalam sidang Dun, beliau memberikan jawapan yang tuntas, tanpa kontroversi. Beliau dan barisan Exco juga memilih membaiki kerosakan lama, daripada menyalahkan kerajaan terdahulu, jauh, menyalahi perangai PH di parlimen, diulang-ulang salah dan silap yang lama. Cadangan daripada mantan-mantan MB jika ada, diberikan perhatian dan tindakan yang sesuai, kakitangan kerajaan juga gembira dengan kepimpinan beliau. Setakat ini tiada kedengaran penentangan dari kakitangan kerajaan, berbeza dengan dahulu. Terima kasih kepada idea kerjasama PAS dan Umno oleh Presiden PAS yang melegakan semua pihak.

Dan sekarang, DS Dr Samsuri dilantik menjadi TPJ 1 bagi membantu PJ mengendalikan organisasi PAS Terengganu ini. Beliau dilihat akan diberikan ruang yang secukupnya membina empayar beliau sendiri dalam masa terdekat ini, meneliti, memilih dan merangka barisan kepimpinan yang beliau rasakan akan membantu beliau menjulang agama dan bangsa di Terengganu. Sebagaimana yang dimaklumkan sebelum ini, beliau ialah calon paracut, jadi beliau semestinya diberikan sokongan yang sepenuhnya di peringkat akar umbi, bagi beliau dikekalkan sebagai pemimpin.

InsyaAllah, jika PJ melepaskan jawatan beliau, secara ghalibnya, DS Dr Samsuri akan mengambil alih kedudukan nombor satu PAS Terengganu itu. Sehingga kini, barisan kepimpinan PAS Terengganu, menghormati beliau. Inilah indahnya kesatuan yang dibina atas nama Islam. Tiada peteh kaki, taat kepada keputusan syura. Jadi sekiranya pimpinan atasan dan ahli bawahan menghormati beliau, saya yakin, tiada yang akan memandang rendah kepada beliau termasuk lawan. PAS sedang menghidangkan kepada rakyat, DS Dr Samsuri ialah MB rakyat Terengganu, bukannya MB orang PAS.

Semestinya para pendokong PAS memberikan ketaatan kepada beliau. Ia bukan sesuatu yang hanya kita rasakan perlu diberikan peluang kepada calon setempat sahaja sebagai wakil, yang mungkin boleh difikirkan dengan terbuka. Ia adalah berkenaan apakah pencapaian yang disumbangkan pemimpin itu kepada Islam dan bangsa itu sendiri. Rakyat setempat, jika memahami isu ini, pasti akan melihat kemampuan calon berbanding dengan tempat asalnya. Tetapi amat malang jika ahli masih mempersoalkan asal usul calon yang pasti dimainkan oleh musuh bagi menjahanamkan PAS.

Dan jika DS Dr. Samsuri berjaya menambat hati semua lapisan, maka tiada lagi masalah kerusi mana yang beliau akan duduki. Semua kerusi ialah kubu bagi beliau. Bukankah kaum Muhajirin adalah kaum yang membina empayar Islam dengan bantuan Ansar? Muhajirin bukan berasal dari Madinah, tetapi kerana kehebatan mereka menjadikan Islam sebagai tunjang, maka mereka berjaya. Mereka disukai kerana akhlak mulia mereka. Jadilah sebagai sesiapapun, Muhajirin atau Ansar, jika kerana Allah, kita bantu.

Dan, semestinya daripada cerita serta pandangan saya ini, saya kira anda faham, kenapa buat masa ini, MB tidak menjadi PJ atau PJ tidak menjadi MB. Mereka sebenarnya saling melengkapi. PJ membantu mengimbangi DS Dr. Samsuri yang masih baharu di Terengganu, membina tapak yang kukuh dengan kedudukan PJ sebagai orang lama yang lebih dihormati berbanding MB.

Manakala MB pula diyakini akan terus menerajui kerajaan Terengganu atas sifat beliau seorang professional muda yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam mentadbir negeri, berbanding PJ. Semua ini akan didokong oleh barisan kepimpinan PAS Terengganu. Tidakkah anda melihat ianya satu jalinan cantik, kemas dan rapi?

PAS tidak perlu mendakwa bahawa DS Dr Samsuri ini sebagai al-Fateh iaitu pembuka Kota Putrajaya sebagaimana dakwaan seseorang dahulu, kononnya beliau ialah al-Fateh bagi PAS untuk membuka Kota Putrajaya. Walau sudah terbukti DS Dr Samsuri menang di Dun dan tidak sedikit suara-suara menyayangi beliau dan berharap akan menjadi PM Malaysia akan datang. Ianya sangat berbeza individu itu yang mendakwa sebagai al-Fateh yang akhirnya kalah dalam PRU, tidak juga dilantik menjadi wakil kerajaan PH di Kelantan dan sekarang mengutuk kembali dasar negeri yang dia terlibat sama dahulu.

Dan dengan tulisan ini juga, apakah anda berfikir PAS hanya semberono dalam bersiasah? Tidak ada perancangan? Dungu seperti mana dakwaan lawan PAS? Ianya salah, jauh dari kebenaran. PAS bukan sahaja berstrategi dengan bergaya, malah PAS tidak pernah lupa meminta bantuan daripada Allah. Konsep usaha dan tawakkal. Oleh itu jika kalah, PAS percaya ia takdir Allah, PAS redha dan bersyukur, PAS akan dapat pahala. Jika menang, PAS tahu ia ketentuan Allah, PAS redha dan bersyukur, PAS akan dapat pahala juga. 

Itulah politik Islam yang PAS amalkan, bukan politik fitnah dengan asas matlamat menghalalkan cara, ciptaan Machiavelli, tiada dosa pahala yang menjadi anutan parti lain. PAS ada kaedahnya, ikut Islam untuk perkara dasar, mengubah strategi dan fleksibel untuk perkara cabang mengikut keadaan semasa berserta dalil-dalil. Oleh itu, marilah kita sama-sama berganding bahu membantu PJ dan MB yang kita kasihi ini dengan mematuhi perintah pimpinan setempat kita melalui wala’ yang kita diajar. Kita mesti meyakini bahawa kita mampu menjadi ejen perubahan kepada negeri dan negara kita.

Terengganu Maju Berkat Sejahtera
Islam Memimpin

Mohd Nasir Abdullah
Al-Khor, Qatar
26 Julai 2019