Mengapa Mahfuz, Hanipa, Khalid, Sangat Memusuhi PAS?

1785

Kita kadang-kadang agak hairan, mengapa begitu tegar permusuhan bekas ahli PAS dengan PAS. Mereka bukan sahaja ahli, malah lebih dari itu, mantan pimpinan PAS pada suatu waktu dahulu. Kita disuruh mentaati, mematuhi arahan, membantu dan melaksanakan tugasan yang datang dari mereka. Kita melaksanakan segala wala’ itu kerana sebagai sebuah jemaah Islam, sememangnya itu suatu kewajipan.

Mereka juga seperti saudara mara kita. Sangat biasa jika sesetengah pemimpin PAS itu tidak ada duit yang mencukupi, sebahagian besar yang mampu dari orang bawahan, sanggup mengorbankan atau berkongsi sedikit daripada rezeki mereka bagi melicinkan dakwah pimpinan PAS. Mereka sangat percaya, pelaburan itu sangat berbaloi di sisi Allah. Bagai kaum Ansar membantu, itulah yang disematkan dalam minda ahli PAS.

Pernah suatu ketika, saya duduk bersama Ustaz Yussainee Yahya, mantan Ketua Pemuda Pas Perlis, beliau membaca sms (masih tiada WhatsApp waktu itu) sambil tersenyum. Beliau kemudian memberitahu apakah kandungan mesej itu. Dia memaklumkan, seorang hamba Allah menyuruh beliau pergi ke sebuah kedai tayar untuk menukar keempat-empat tayar kereta beliau dengan tayar baharu. Tayar itu sudah dibayar. Alhamdulillah katanya yang sebelum itu turut menerima sebuah peti baharu dari jemaah. Kata beliau kepada saya, inilah rezeki orang duduk di jalan dakwah.

Saya memahami itu kerana ada beberapa pimpinan PAS menerima kenderaan percuma yang diberikan oleh beberapa dermawan yang inginkan pimpinan PAS berdakwah dengan lebih berkesan. Mereka tidak senang apabila melihat pimpinan PAS berkenderaan buruk kerana bagi mereka imej pejuang Islam, mesti tonjolkan dengan serba kecantikan dan keindahan. Pastinya barang baharu lebih baik dari yang buruk. Bab tanah wakaf, jangan ceritalah, pantang sebut nak buat madrasah, adalah nanti yang bawa geran.

Oleh itu apabila memikirkan pemimpin seperti Hanipa, Mahfuz dan Khalid ini, ianya sangat menyakitkan hati. Naik mereka dibantu, program mereka pula ahli-ahli yang menyumbang, arahan mereka dipatuhi, derma dikutip sebahagiannya untuk mereka, idea diberikan bagi mempertahankan mereka. Tiba-tiba pada ketika mereka keluar meninggalkan PAS, kutukan mereka lebih celaka daripada musuh lama PAS.

Ianya bagai mahu berpatah arang terus selama-lamanya dengan PAS, tapak asal politik mereka yang banyak menolong mereka dahulu. Sikap tidak sedar diuntung ini, pasti akan mendapat balasan Allah. Mereka sanggup menghina PAS sedangkan pada masa yang sama, mereka melihat sendiri akan kejahatan, kederhakaan pakatan baharu mereka kepada Allah. Sejarah menunjukkan spesis mereka ini juga tidak akan digemari rakan baharu mereka kerana jika ada perbalahan, pasti rakan baharu mereka pula yang dicacinya.

Dalam mana-mana temuduga, jika calon itu menceritakan keburukan majikan lama mereka, itulah tanda terbesar yang calon itu akan ditolak. Paling pantang bagi pihak pengurusan mendengar cerita buruk majikan lama kerana pasti calon itu juga akan bersikap serupa apabila keluar dari syarikat barunya nanti. Pernah dengar kisah tiga orang pahlawan Islam? Seorang darinya kekal dengan aqidah dan dua lagi sanggup membunuh kawan mereka itu bagi pihak musuh bila disuruh. Akhirnya keduanya itu pula dibunuh musuh. Benar sekali, kawan lama sanggup mereka bunuh, apa lagi musuh yang baharu mereka kenal.

Liwat sekarang sudah dilihat bagai budaya yang boleh diterima. Sedangkan dahulu, ketika bersama ulamak, liwat sangat keji. Dalam Islam, jika sudah mengaku, ia diterima untuk dijatuhkan hukuman. Namun tidak bagi PH, mereka diam membatu. Islam sudah dibakul sampahkan. Hinanya Islam kepada mereka, kerana apabila pimpinan mereka bercakap, tiada sandaran ayat-ayat suci al-Quran yang mereka sertakan. Sangat jauh dengan Presiden PAS yang selalu menyatukan ucapan beliau dengan dalil al-Quran.

Penipuan pula menjadi kewajipan untuk menang. Menipu diharamkan oleh Islam, tetapi kerana Lim Guan Eng yang lakukan, maka ianya tiba-tiba menjadi hal yang suci kepada PH. Menipu dalam hal tuduhan kepada Najib dan PAS, menipu dalam isu pencemaran, menipu dalam manifesto. Tiada suara Mahfuz dan Hanipa dalam isu ini. Islam mereka hanya di kerongkongan, tidak di dalam hati. Mereka mencari dalil al-Quran dan hadis berpilih-pilih, hanya untuk membenarkan DAP. Kesialan apakah ini?

Dahulu, kematian Teo Beng Hock dan Kugan yang bukan Islam itu dibela dengan sesungguh hati mereka kerana ‘mempercayai’ bahawa ada kejahatan yang telah dilakukan oleh pegawai kerajaan yang bertugas waktu itu. Desakan demi desakan dibuat bagi menuntut apa yang mereka katakan sebagai keadilan. Tetapi bagi kes Adib, saudara seagama yang mati dibunuh, jelas terang dan nyata, mereka diam membisu. Pembunuh Beng Hock dan Kugan itu juga sehingga kini tidak dicari semula walaupun mereka berkuasa.

Dalam al-Quran jelas disebutkan ada golongan yang mulut, mata dan telinga mereka telah dipaterikan oleh Allah dari melihat kebenaran. Sangat hina mereka ini kerana dibutakan Allah ketika mana mereka menjadi hamba dan khadam kepada DAP yang kafir dan menentang Islam itu. Saya tidak melihat sangat sosok lain yang begitu mendendami PAS sebegitu rupa, kecuali tiga, empat orang ini. Mereka bagaikan menjadi perisai DAP yang utuh. Malah DAP dilihat seperti bergoyang kaki, menyerahkan hal memburukkan PAS itu kepada mereka. Selayaknya mereka menjadi khadam, tetapi tidak mahu mengaku.

Jika kita mendalami akan keadaan mereka, kita dapat memahami bahawa respon mereka terutama kepada Presiden PAS itu ialah sebenarnya kerana mahu melawan perasaan bersalah mereka. Mereka hanya berpura-pura menunjuk gagah bagi mengaburi mata rakyat konon mereka berada dalam kebenaran. Adakah mereka fikir manusia akan dihormati jika melakukan khianat melampau-lampau? Bersetujukah anda? Rasulullah berpesan bahawa berkelahi secara melampau adalah sifat orang munafik.

Mereka hanya mahu menunjukkan tindakan mereka keluar PAS itu betul. Mereka tidak menyesal keluar daripada PAS. Tetapi mereka sebenarnya berperang dengan perasaan mereka. Sebab itu terkadang kita boleh mendengar kenyataan mereka membandingkan konon mereka sekarang sudah berjaya dan berkuasa. Kemudiannya, mereka mengeluarkan ayat ‘KALAU’ Presiden PAS bersama mereka sekarang, pastinya sudah menjadi Timbalan Perdana Menteri. Umpan untuk menggiurkan orang. Sedang perkataan KALAU yang disebut setelah berlaku, membuka pintu kepada syaitan. Dirasuk syaitankah mereka?

Apabila tidak dilayan, maka mereka meroyan kerana gagal menggegarkan hati Presiden PAS dan ahlinya untuk memakan umpan mereka. Begitulah kitaran hidup mereka. Mereka akan segera respon kepada kenyataan Presiden PAS supaya orang tidak melihat mereka lemah yang sebenarnya jauh di lubuk hati mereka tahu yang jalan yang dipilih mereka itu salah, tetapi lebih rela bersama DAP kerana ego. Saya berani katakan itu kerana apabila ada suara menghina rasulullah, begitu berat mereka mahu bersuara menentang. Hanya golongan Abdullah bin Ubay dan kafir harbi sahaja yang suka rasulullah dihina.

Tetapi apakan daya, upah yang DAP berikan, mereka rasa sangat bernilai, melampaui janji yang Allah akan berikan di akhirat nanti jika benar-benar berjalan atas landasan Islam. Orang seperti inilah yang menukar agama dengan dunia yang murah. Menjadi suara mewakili DAP, jauh mereka rasakan lebih mulia daripada menjadi suara yang menyeru kepada jalan Allah. Tiada mereka mahu memberikan yang terbaik untuk Islam. Jika adapun ianya mesti mendapat restu DAP. Biarkanlah mereka begitu. Kita tidak perlu melayan salakan anjing-anjing kepada kabilah ini. Kabilah tetap meneruskan perjalanan mereka.

Kita doakan mereka akan kembali kepada Allah sebelum mereka mati.

Mohd Nasir Abdullah
Al-Khor, Qatar