Meneruskan Tradisi 20 Tahun ‘Singgah Sahur’

309

KUALA NERUS – PAS Bukit Tunggal meneruskan tradisi ‘Singgah Sahur’, menziarahi rumah penduduk yang tidak berkemampuan untuk diberikan sumbangan barangan dapur.

Menurut Timbalan Yang DiPertua PAS Kuala Nerus, Dr Alias Razak, santunan ‘ala Saidina Omar’ tersebut telah diamalkan di kawasan DUN terbabit selama hampir 20 tahun.

“Alhamdulillah selesai mengagihkan sumbangan singgah sahur ke lokasi terakhir untuk Ramadan kali ini di Pulau Sekati.

“Semoga setiap inci langkah kita untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik dikira sebagai amal soleh disisiNya,” jelasnya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Tunggal berkata demikian melalui laman sosialnya selepas menyempurnakan program tersebut pada malam 19 Mei.

Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih kepada para dermawan, seluruh MPKK, AJK MTD Bukit Tunggal dan semua pihak yang bertungkus lumus membuat persiapan daripada awal hingga akhir program.

Dalam pada itu, limpahan keberkatan bulan Ramadan mendidik umat Islam berlumba-lumba mengerjakan amal kebajikan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri itu juga menyeru agar rakyat tidak melepaskan peluang keemasan yang ditawarkan oleh Allah S.W.T pada bulan ini.

“Hanya Taqwa menjadi ukuran yang dinilai oleh Allah kepada hamba-hambanya, semakin banyak amal kebajikan yang dibuat, maka semakin tinggi kedudukan disisi Allah.

“Kita telah agihkan sumbangan ini kepada 540 orang penduduk yang layak di DUN Bukit Tunggal dengan kerjasama AJK MTD dan MPKK setempat” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kos keseluruhan untuk program singgah sahur kali ini ialah sebanyak RM 27,000 melibatkan 27 buah kampung dengan 20 pek berisi keperluan harian untuk setiap satu kampung.