Mencerna Erti Kemanusiaan di Bumi Palu

153

Oleh : Azizah Mahmood

Kehadiran delegasi  empat Badan Bukan Kerajaan(NGO) iaitu Warga Cakna, Iman Care, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan Kumpulan Aktivis Media Indipenden KAMI ke bumi Palu yang musnah akibat gempa dahsyat, mencerna erti kemanusiaan.

Salah seorang peserta delegasi yang mewakili PAPISMA dan juga Warga Cakna, Dr. Khadijah Musa berkata walaupun  bukan orang Malaysia, mereka memerlukan dokongan dari sesama orang Islam lainnya kerana Islam mengajar erti hidup bersaudara.

“Alhamdulillah , misi kemanusiaan ini dari NGO – NGO Negeri Terengganu menjelaskan bahawa keberkatan itu lahir dari hati yang ikhlas membantu kerana Allah,

“Ini antara sebabnya NGO ini berangkat ke Palu dengan sedikit sumbangan yang didermakan oleh mereka yang terpanggil membantu,” jelas beliau yang merupakan pakar kesihatan keluarga.

Menurut warga tempatan, Pak Rusno Abdullah, peristiwa tragis pada  28 September 2018, hari jumaat, pada waktu maghrib menyaksikan beberapa kampung ditelan bumi,

Katanya, Palu menangis pilu sehingga hari ini kesan di pantai Talise masih belum sepenuhnya dipulihkan.

Beliau berkata, kampung Petobo yang keluasannya hampir dua hektar menjadi padang jarak, padang terkukur , kemusnahan yang melibatkan hampir dua ribu orang nyawa melayang ditelan bumi bersama rumah-rumah kediaman mereka.

“Waktu maghrib itu , aku dan isteri serta anak anak seramai empat orang berada di rumah ketika kejadian, ”

“Bumi semacam bergulung menelan rumah kami, aku sama anakku selamat tapi isteriku tertelan di bumi dan berkubur di dalam bumi, dan keseluruhan kampung hancur, ” ujarnya.

Beliau yang sudah menjangkau usia 52 tahun itu ,  setiap petang datang ke kawasan gempa melihat sisa-sisa rumahnya yang hanya ada tiang batu sahaja .

Seorang lagi warga Palu, Ibu Aryah Mohd berkata, kejadian yang sangat mengharukan dan pelik bila mana tanah ini bergulung dan seakan kisaran membawa rumah-rumah sehingga satu kilometer jauhnya.

“Ada yang ruang tamunya di sini tapi dapurnya nun di sana sayup-sayup kelihatan dan berhenti betul-betul di tepi klinik perbidanan,” kata beliau yang rumahnya selamat dan hanya retak di bahagian anjung sahaja.

Namun jelas wajahnya menunjukkan ketakutan yang amat sangat.

“Takut sekali kerana jalan raya ini semua pecah dan bergulung gulung , terputus dan terus ranap ke dalam bumi hampir 10 meter bersama semua yang ada di atasnya” ujar beliau lagi.

Seorang karyawan di toko berdekatan, Ahmad Bachtiar memberitahu, Masjid Terapung yang sedikit senget di kelilingi lautan membawa kisah pilu bilamana waktu kejadian.

“Bilal masjid dan empat orang makmum sedang solat bila ombak yang kuat membadai, menyebabkan makmun berlari keluar, tetapi bilal  masih di dalam masjid, berguling guling di hempas ombak, ” cerita beliau penuh simpati

Namun katanya, masjid itu masih lagi selamat, sedang di luar sana banyak yang hancur termasuk  jambatannya yang kukuh terputus dua.

“Manakala gedung-gedung besar tersadai dan terbiar begitu sahaja, hotel-hotel di pantai ini yang rosak teruk dihempas tsunami sehingga seakan menjadi tugu untuk tatapan pelancong luar tentang hebatnya tsunami ini, ” tambah beliau dengan rasa takjub.

Pelepasan Delegasi Kemanusian Palu oleh YB Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada 22 November 2018, tepat jam 4 petang membawa makna yang mendalam pada rakyat Terengganu.

Seramai lapan orang itu, diketuai oleh Dr. Suhazeli Abdullah  yang  merupakan Pengerusi NGO  Warga Cakna dan juga mewakili  PAPISMA.

Delegasi kemanusiaan turut disertai oleh Haji Sabri Husin dari KWSP, isteri beliau, Dr Azlin Ahmad,  yang mewakili PAPISMA Terengganu, Puan  Habibah Mohd mewakili Warga Cakna dan juga Yayasan Amal Malaysia cawangan Kelantan.

Misi yang pada bermula 22  hingga 27 November dengan membawa bekalan ubat-ubatan dan juga keperluan lainnya seperti telekung dan selimut.