Memperingati Israk Dan Mikraj

97

Isra’ dan Mi’raj bukan sekadar peristiwa biasa atau hanya sekadar untuk peribadi Rasulullah SAW semata-mata, tetapi merupakan suatu pengisytiharan bahawa Rasulullah SAW adalah semulia-mulia Rasul dan Nabi yang menjadi penghulu seluruh manusia dan generasi di sepanjang zaman.

Peristiwa agung ini menjadi titik perbezaan di antara kerasulan sebelumnya yang khusus untuk suatu masa yang terhad dan kaum sahaja, sedangkan kerasulan Nabi Muhammad SAW adalah untuk seluruh manusia di sepanjang zaman.

Orang-orang yang beriman kepada Allah mestilah meyakini dan percaya bahawa Isra’ dan Mi’raj boleh berlaku dengan roh dan jasad. Masalah masa dan jarak jauh adalah urusan makhluk tetapi Allah yang Maha Berkuasa melakukan peristiwa agung ini kepada kekasihNya Muhammad SAW.

Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ [الإسراء: 1]

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui(1)” [Surah Al-Isra’: 1]

Allah juga menjadikan Isra’ dan Mi’raj untuk mencabar zaman sains dan teknologi. Manusia berbangga dengan alat-alat canggih yang mereka cipta. Sedangkan semua rekaan itu hanya habuk yang halus di hadapan Allah Taala.

Justeru itu, perhitungan manusia bukannya suatu perkara yang mesti berlaku dan tetap berlaku. Segala-galanya tunduk di bawah penentuan dan ciptaan Allah. Kemampuan aqal adalah terlalu terhad kebolehannya dan tidak mampu menandingi keagungan Ilahi.

ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS