Memerintah Mengikut Tuntutan Islam

184

Oleh ; Pyang Mamat

KEMAMAN – Melaksanakan pemerintahan yang selari dan selaras dengan tuntutan Islam adalah menjadi keutamaan dan hasrat Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid berkata undang-undang tubuh negeri adalah Al-Quran, hadith, ijmak ulama’ dan qias menjadi panduan pemerintahan di negeri Terengganu.

“Pemimpin dan rakyat yang beriman dan bertaqwa akan diberi keberkatan dan kesejahteraan oleh Allah yang meliputi langit dan bumi, ” jelas beliau lagi.

Ahli Parlimen Kemaman itu, memberitahu demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Sambutan 1 Tahun Pemerintahan PAS Terengganu Peringkat Kawasan Kemaman di Padang Astaka, Cukai di sini pada 23 Ogos.

Sambutan yang julung kali diadakan itu, berlangsung selama dua hari dengan aktiviti-aktiviti yang menarik melibatkan seluruh golongan usia masyarakat setempat dan akan diakhiri dengan ceramah perdana.

Menurut Che Alias, tujuan program ini diadakan adalah untuk mengeratkan ukhuwah diantara pimpinan PAS dan masyarakat setempat.

“Disamping itu juga untuk mengingati petugas kita yang bertungkus lumus di Pilihan Raya Umum(PRU) lepas dalam memenangkan PAS di Terengganu,” katanya lagi.

Beliau juga berharap agar pemerintahan di negeri Terengganu ini terus mendapat sokongan dari seluruh rakyat dan mendapat keberkatan dari Allah.

“Semua pihak perlu menjaga amanah yang diberikan oleh Allah dengan sebaik-baiknya”, tegas beliau lagi disambutan yang juga berkebetulan dengan ulangtahun 68 tahun penubuhan PAS di Malaysia pada 23 Ogos 1951.