Membuka Pintu Mafia

230

Saya ingin menarik perhatian masyarakat yang cintakan keamanan dan keselamatan di Malaysia supaya melakukan muhasabah terhadap beberapa undang-undang Malaysia Baharu yang dibawa oleh Kerajaan PH yang dikatakan melakukan reformasi yang menjadi slogan yang dilaungkan oleh pemimpin utama mereka, di atas nama konsep kebebasan hak asasi manusia dan demokrasi.

Namun kelihatan sangat nyata berkiblat ke arah Barat, sehingga menghakiskan sifat kemanusiaan kepada kebinatangan dan meletakkan simpati kepada penjenayah melebihi daripada mangsa yang menyebabkan tanda-tanda kerosakan makin melarat.

Sebelum ini pernah dibincangkan undang-undang guru disiplin tidak boleh merotan murid, kerana dipengaruhi dengan konsep dan takrif merotan mengikut undang-undang Barat yang menyeksa, tanpa membaca dan terus melupakan hukum merotan secara Islam yang mendidik dan tidak mencederakan.

Ini disebabkan hati mereka sangat berkiblat ke arah Barat. Hasilnya ialah murid atau ibu bapa membelasah guru, dan anak menumbuk ibu bapa di rumah.

Apakah akhirnya kita meruntuhkan institusi keluarga?

Apa yang sedang berlaku di negara Barat, sehingga adanya kes jenayah membunuh kanak-kanak di sekolah dan hartawan menulis surat wasiat harta pusaka kepada anjing. Ini petanda makin merudumnya institusi keluarga dan masyarakat, kerana anak tidak lagi menghormati ibu bapa, dan jiran tidak mempedulikan sesama jirannya.

Kini, berlaku perbincangan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 yang berkait dengan disiplin polis.

Apakah Akta Polis yang sedia ada dan Suruhanjaya Pasukan Polis yang bertanggungjawab menjaga disiplin selama ini tidak berguna dan tidak mampu ditambah baik lagi?

Maka apakah perlunya undang-undang membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja pihak awam yang jahil ilmu kepolisian boleh mendisiplinkan polis tanpa mengira kelayakan iman, ilmu dan budiman, kerana terpengaruh dengan ideologi tidak beriman yang sedang merudum di negara penciptanya.

Percayalah bahawa akibatnya lebih parah daripada membatalkan tindakan merotan murid secara mutlak.