Melaga-lagakan Orang Adalah Satu Penyakit

247

Oleh : Mustaqim Afandi

BESUT – Fitnah dan melagakan-lagakan orang adalah satu  ‘penyakit’ yang cukup berat kerana ia termasuk dalam kategori dosa besar.

Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan Besut, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, terdapat segelintir orang awam memuat naik sesuatu berita tanpa mendapatkan kesahihan dan fakta yang tepat dahulu sebelum menyebarkan.

“Untuk makluman, sejak Pok Ngoh (Othman Bin Salleh) masuk wad sejak dari Hospital Besut lagi isteri saya bersama pegawai-pegawai Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Putera telah melawat Pok Ngoh yang terlantar sakit.

“Kemudian apabila Pok Ngoh dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kami telah menghantar wakil untuk mewakili saya untuk melawat Pok ngoh dua malam yang lepas.Dan isu bil hospital tidak timbul kerana Pok Ngoh dah ada Guaranty Letter(GL) dari anaknya yang juga bekerja dalam sektor awam,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Indusri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja  negeri berkata demikian ketika dihubungi, pada semalam.

Oleh itu, katanya, setiap orang Islam mestilah meneliti kesahihan setiap berita diterima supaya ia tidak menjadi bahan fitnah serta tidak bersekongkol melakukan dosa besar itu.

“Apabila mengumpat atau menyebarkan fitnah sudah menjadi amalan, dibimbangi si pelakunya akan merasakan satu kepuasan apabila dapat bercerita perihal dan aib orang lain.

“Golongan yang menyampaikan berita palsu dikira sebagai pembohong kerana bersubahat,” tambah beliau.