Media Sedang Memimpin Akal Rakyat

377

Oleh : MNA

KUALA NERUS – Wakil Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Saudara Syahril Sulaiman berkata, ucapan dasar Presiden amat bertepatan dengan konteks semasa, ia hampir sama dengan semangat yang ditunjukkan ketika Muktamar Pemuda PAS yang juga mengangkat cabaran dan hala tuju yang sama.

Ia turut menggariskan ‘road map’ menuju PRU 15 dan bagi beliau, ia boleh diangkat sebagai ‘blue print’ kepada PAS, blok pembangkang dan rakyat secara keseluruhannya bagi mewujudkan negara yang lebih sejahtera.

“Dengan syarat, kita mesti meletakkan Islam yang memimpin,” tegas beliau.

Islam Memimpin adalah tema bagi ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar ke-64, yang mesti difahami keseluruhannya sebagai strategi asas parti, demi survival Islam di Malaysia.

Antara tajuk lain yang disentuh oleh Presiden yang menarik perhatian wakil DPPM ini ialah berkenaan keadilan ekonomi Islam dan bagaimana prinsip ini boleh dilaksanakan di Malaysia.

Menurutnya lagi, sistem percukaian yang ada sekarang menggunakan asas konvensional terbukti gagal membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan hanya menukar GST kepada SST.

“Jadi Presiden menyebutkan perlunya semua pihak duduk bersama mengkaji bersama mengkaji model cukai yang adil untuk semua kepada rakyat, peniaga dan juga kerajaan.

Manakala isu-isu salah urus tadbir , skandal rasuah dan sebagainya, ia juga perlukan tindakan yang lebih holistik, maknanya bukan lagi menggunakan pendekatan politik seperti kapitalis dan sosialis tetapi mengambil pendekatan ekonomi Islam yang mementingkan aspek halal dan haram,” terang beliau.

Kata Syahir, semua ini tidak semestinya memerlukan tindakan yang besar memandangkan keterbatasan kuasa yang ada pada PAS dan walaupun kecil, ia boleh dijalankan sebagai pengenalan asas kepada masyarakat.

Bagi beliau, perlaksanaan ini sebenarnya telah dilakukan secara prinsip mudah iaitu dengan memindahkan akaun kerajaan negeri seperti Kelantan dan Terengganu yang konvesional ke akaun patuh Syariah.

Ia kemudian boleh diperluaskan lagi dengan apabila mendapat kuasa yang boleh mengubah hal yang lebih besar.