Media Baru PAS Perlu Selangkah Ke Hadapan

139

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober – Jentera media baru PAS perlu bergerak selangkah ke hadapan dalam menjuarai setiap isu dan kepentingan rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, platform tersebut sudah menjadi sumber utama rakyat untuk mendapatkan info terkini.

“Kita perlu menguasai media baru di setiap lapangan atau isu, bukan hanya sekadar politik, tetapi pengusaan dalam sektor lain seperti dakwah mesti kita mantapkan.

“Berdasarkan kajian daripada beberapa pihak dan badan tersohor, Malaysia dikategorikan sebagai antara negara yang paling tinggi menggunakan media sosial, 93 peratus rakyat memanfaatkan media baru.

“Peratus tersebut meletakkan kita hampir setaraf dengan dengan negara besar seperti Amerika Syarikat, Facebook dan You Tube merupakan aplikasi paling diminati,” katanya dalam pertemuan bersama jentera media PAS Kuala Terengganu di Markas Tarbiyyah Pas Kuala Terengganu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk menegaskan, usaha ke arah itu perlu dipersiapkan dengan teliti agar masyarakat menerima impak yang positif.

“Kita perlu cepat, bergerak dengan segera, dalam keadaan landskap politik negara yang tidak menentu ini Pilihan Raya Umum (PRU-15) mungkin akan diadakan pada bila-bila masa.

“Jadi kita perlu bersedia, PRU-15 adalah peperangan di alam maya, kita mesti kuasai,” tambah beliau.