Medan Ilmu Jerteh Menjadi Tempat Timba Ilmu Agama Dan Eratkan Silaturrahim.

593

Alhamdulillah, sejak Medan Ilmu Jerteh (MIJ) dilancarkan pada tahun lepas, 12 Oktober, ia telah menjadi satu destinasi yang dikunjungi oleh masyarakat sekitar daerah Besut ini pada setiap pagi Jumaat.

Ribuan masyarakat Besut dan sekitarnya berkumpul disitu untuk menadah kitab dan mendengar kuliah dhuha yang di sampaikan oleh pengkuliah jemputan.

Sebelum ini tempat tersebut hanya digunakan sebagai Medan Selera. Para peniaga berniaga pada sebelah petang hingga ke larut malam. Manakala, pada waktu pagi tidak ada sebarang aktiviti dijalankan di bawah bumbung khemah yang dibina beberapa tahun dahulu dengan kos sekitar RM2 juta.

Sejak tahun lepas, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menguruskan MIJ. kita telah putuskan bahawa tapak tersebut dijadikan sebagai tempat kuliah ilmu untuk masyarakat daerah Besut sebagai mencari ilmu setiap pagi Jumaat mulai jam 9.00 sehingga pukul 11.00 pagi.

Alhamdulillah, sambutan yang sungguh meriah daripada masyarakat setempat. Hampir 1000 ke 1500 orang pendengar hadir setiap kali kuliah diadakan. Dengan kehadiran pengkuliah jemputan dari seluruh negara termasuk selebriti dan pimpinan tertinggi maka Medan Ilmu Jerteh mulai ‘hidup’.

Sebagai Pengerusi Ahli jawatankuasa MIJ, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Daerah Besut, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Besut, Pejabat Agama Daerah, Unit Amal, Alternatif Riding Club (ARC), Ameerah, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Jerteh dan MPKK Seberang Jerteh yang telah memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan program kuliah Dhuha selama setahun ini.

Pada hari Jumaat, 11 Oktober 2019 genap setahun kuliah Medan Ilmu Jerteh dijalankan. Semoga program ini terus mendapat sambutan masyarakat dan memenuhi hasrat kerajaan Negeri Terengganu menjadikan hari Jumaat sebagai hari menuntut Ilmu. Di samping itu, kita cuba merealisasikan Daerah Besut sebagai Wilayah ilmu. Insyaallah !

Cikgu Shalahuddin Jaafar
Pengerusi
Jawatankuasa Medan Ilmu Jerteh.