MB Mulakan Kerja Dengan Beriadah

7276

Oleh : Saiful Mustafa

KUALA TERENGGANU – Dalam kesibukan melaksanakan tugas pentadbiran sebagai ketua kerajaan negeri, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar masih berkesempatan untuk beriadah santai bersama isteri, Tuan Faezah Abd. Rahman dengan mengayuh basikal dan berjoging sebelum ke Wisma Darul Iman, di sini.

Menteri Besar yang lebih mesra dikenali sebagai Dr. Sam, mengayuh basikal bersama isteri dari kediaman Seri Setia di Batu Burok di sini bermula jam 7.15 pagi menuju ke Pantai Batu Burok sejauh kira-kira dua kilometer dari kediaman beliau.

Di kedinginan pagi sambil menyedut udara bersih dan segar beliau dan isteri turut berjoging di persisir pantai tersebut selama 10 minit, satu amalan sihat yang perlu turut menjadi amalan seluruh warga Terengganu.

Dr. Sam ke pejabatnya di Tingkat 16, Wisma Darul Iman kira-kira jam 8 pagi dalam keadaan segar dan bersedia menyelesaikan masalah pentadbiran dan politik dengan tabah, demi menjayakan cita-cita menjadikan Negeri Terengganu maju, berkat dan sejahtera.