Mat Zan Sepatutnya Dapat Imbuhan – Abdullah Ali

555

Bekas pemain bola sepak Negara Haji Abdullah Ali berpendapat, Mat Zan Mat Aris sepatutnya menerima imbuhan kerana ditamatkan khidmatnya lebih awal.

“Sepatutnya Persatuan Bola Sepak Negeri Terenganu (PBSNT) tidak boleh buat begitu, (Mat Zan) kena (berkhidmat) sampai habis kontrak, habis musim lah,

“sepatutnya (kalau) ada dalam kontrak, (Mat Zan ditamatkan lebih awal) dia (PBSNT) kena bayar banyak tu,”ujarnya ketika diminta mengulas isu bola sepak tanah air masakini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jalan-jalan di Pasar Chukai pada Sabtu 25 Mei.

Menurutnya, beliau tidak pasti kandungan dalam kontrak yang ditandatangani diantara PBSNT dengan Mat Zan Mat Aris.

Namun begitu, katanya, pada kebiasaan kontrak, klausa penamatan perkhidmatan seseorang jurulatih itu memasukkan pembayaran imbuhan yang lebih, sekiranya penamatan awal berlaku.

Beliau bersetuju, isu sebenarnya yang melanda pasukan bola sepak negeri Terengganu adalah masalah pengurusan PBSNT yang diterajui oleh bekas speaker DUN Terengganu, Che Mat Jusoh.

Menurutnya, Mat Zan Mat Aris seolah-olah menjadi ‘kambing hitam’ ekoran kekalahan yang dialami oleh pasukan ‘Penyu’ itu.

Abdullah Ali yang pernah duduk dalam Jawatakuasa Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpendapat pengurusan sukan khususnya bola sepak negara tidak wajar dicampuradukkan dengan urusan politik.

Oleh sebab itu, katanya, orang yang ada hubungan yang baik dengan Menteri Besar Terengganu masih kekal dalam pengurusan bola sepak Terengganu, walaupun menerima banyak rungutan dari peminat bola sepak.