‘Mat Rasul’ Ahli PAS Terengganu Ke 100,000

2252

Oleh KAM

HULU TERENGGANU: Seorang anak muda remaja yang telah kehilangan ibubapanya sejak empat tahun lalu dipilih sebagai ahli PAS Terengganu ‘bertuah’ yang ke-100,000.

Muhammad Rasul Hakim Mohd Zuki, 17, dari Cawangan PAS Kampung Paya Berenjut dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, Kemaman dipilih kerana menjadi ahli PAS ke-100,000 di Terengganu.

Beliau melahirkan rasa terkejut dan teruja kerana tidak menyangka penyertaannya sebagai ahli PAS mendapat pengiktirafan.

“Alhamdulillah, tapi saya rasa terkejut dan teruja. Saya tak sangka pula jadi ahli PAS yang ke-100,000 dan dipanggil untuk terima hadiah pada hari ini.

“Terima kasih kepada PAS Cawangan Paya Berenjut dan PAS Pusat kerana menerima pendaftaran keahlian saya ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.6 oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man di Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 20 Mei lalu.

Muhammad Rasul merupakan anak ketiga dari lima adik-beradik dan masih bersekolah tetapi telah kehilangan kedua ibubapanya beberapa tahun lalu.

Allahyarham bapanya, Mohd Zuki Din meninggal dunia tahun 2008 manakala ibunya, Malini Abu Bakar pula meninggal dunia pada tahun 2014.

Hadiah dan penghargaan itu disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang.