Masjid Baharu Dijangka Boleh Digunakan Mac 2020

640

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Masjid baharu Kampung Seberang Takir dijangka akan mula digunakan pada bulan Mac 2020.

Pengerusinya, Ustaz Zakaria Dagang berkata, kos untuk membina bangunan tersebut telah menelan belanja sebanyak RM22 juta.

“Kalau kiranya dah lebih 90 peratus. Pemasangan lampu telah diadakan percubaan dua malam lepas.

“Kalau ikut kontraktor, dalam masa yang dekat ini akan dijalankan kerja-kerja pembersihan dan menyiapkan landskap sahaja,” jelasnya.

Beliau yang juga pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Seberang Takir berkata demikian ketika dihubungi pihak media, pada hari ini.

Menurutnya, pembukaan masjid baharu tersebut dijangka menjadi satu tarikan baharu, bukan sahaja kepada para jemaah ahli kariah bahkan juga kepada pengunjung-pengunjung luar.

“Lokasinya di tepi Sungai Terengganu dan berhampiran dengan Laut China Selatan dan tidak jauh dari ikonik baharu negeri Terengganu, Jambatan Angkat (Drawbridge) pastinya sangat menarik.

“Apatah lagi, ia dilengkapi dengan bilik-bilik penginapan sebanyak 10 unit dan kios perniagaan sebanyak tiga unit, selain galeri yang akan dilengkapkan,” ujar beliau.

Selain itu, empat bilik kuliah dan dewan untuk aktiviti yang munasabah juga disediakan.

“Bagi Jawatankuasa Masjid, ia menjadi satu cabaran kepada kita dalam menguruskan masjid ini.

“Semoga Allah memberi kekuatan kepada kami untuk melaksanakannya, insya-Allah,” tambah Zakaria.