Masih Ramai Lagi Golongan Miskin Seberang Takir Perlukan Rumah

640

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA NERUS – Masih ramai lagi golongan miskin Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir memerlukan rumah kediaman.

Setiausaha PAS Kawasan Kuala Nerus Ustaz Zakaria Dagang berkata, pihak kerajaan negeri cuba membantu menyelesaikan masalah dengan meringankan kos bebanan yang dihadapi golongan miskin.

“Kadar kemiskinan merupakan tanggungjawab kita dan kita cuba selesaikan walaupun kita rasa nak selesai keseluruhan tak mampu lagi.

“Bukan nak basmi tetapi mahu kurangkan sedikit kadar kemiskinan masyarakat kita ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Hi- Tea 2019 Dana Kebajikan DUN Seberang Takir bersama selebriti Dakwah Tanyalah Ustaz TV9 Ustaz Hanafiah Abd Malek di Balai Raya Teluk Ketapang pada Jumaat, 4 Januari.

Megulas lanjut, Ustaz Zakaria berkata, di peringkat MPKK berusaha kenalpasti golongan miskin ini.

Kata beliau lagi, bantuan kepada golongan miskin juga diberi dengan cara saraan bulanan, keperluan dapur dan wang tunai.

Tambah beliau, semasa pertukaran kerajaan baharu, projek perumahan Flat Kampung Batin masih terdapat kekosongan unit.

“Semasa kerajaan bertukar ada beberapa rumah yang masih kosong dan kita cuba isilah.

“Proses kedua ialah proses pemutihan, ada rumah-rumah yang masa pembahagian dengan cara tak betul.

“Yang dibahagikan kepada orang yang telah memiliki rumah, yang akhirnya disewakan kepada orang lain. Masalah dari segi peraturan, dia dapat rumah tak menginap di situ,” jelasnya.

Justeru itu beliau berkata, pihak berwajib akan menghantar surat
untuk menarik balik dan beri peluang kepada orang lain yang berkelayakan.

“Kadang-kadang kita rasa kecewa semasa pembahagian baru ni, ada sebuah keluarga tu, tiga empat orang dapat.

“Sedangkan masih ramai yang betul-betul memerlukan rumah,” tambahnya dengan nada kesal.