Masih Dipercayai Lagikah PAN?

574

Oleh : Mohd Nasir Abdullah

Beberapa ketika dahulu, sewaktu Covid 19 begitu hebat menyerang negara, malah seluruh dunia, masyarakat Malaysia secara umumnya berganding bahu bersama kerajaan bagi mempertahankan negara dan rakyat daripada terkesan dek kerana wabak yang membunuh ini. Rakyat begitu patuh dengan ketetapan yang dikeluarkan kerajaan dari semasa ke semasa. Kepercayaan kepada kerajaan begitu tinggi.

Boleh dikatakan semua serangan terhadap kerajaan dibuat genjatan senjata oleh golongan yang waras. Mereka melupakan semua perkara yang boleh menggangu konsentrasi kerajaan dalam menangani wabak ini. Semua orang faham akan keadaan waktu itu. Semua pihak sedang bersatu melawan musuh dari luar, walaupun ada beberapa perkara yang tidak dipersetujui, namun ianya dilupakan demi rakyat.

Pun begitu, masih ada segelintir manusia yang tidak berhati perut, terus menerus menyerang kerajaan atas nama kononnya kerajaan gagal mengendalikan masalah ini dan cuba memperlihatkan kesan negatif kepada rakyat hasil daripada keputusan-keputusan yang mereka dakwa sebagai salah. Berterusan serangan itu, sehingga akhirnya merimaskan rakyat. Rakyat menjadi benci kepada mereka tapi kasih dan sayang kepada kerajaan makin bertambah.

Daripada tuduhan kepada YDPA yang tidak bertindak seadilnya, yang terpaksa tuanku menjelaskan semula di dalam Parlimen, sehinggalah kepada isu pemandu mabuk dan kembali menggunakan Sarawak Report sebagai rujukan suci, adanya skandal terimaan wang haram PAS daripada Umno yang mana mungkin sebagai persediaan menghadapi PRK, samada di Chini atau mungkin juga Rawang. Terakhir isu balak di Kedah. Mereka benar-benar bertenaga, tiada kenal erti penat dalam membuat cerita dongeng.

Dapat kita perhatikan, isu-isu mereka tidak konsisten. Sering bertukar-tukar. Yalah macam pelarian haram juga, tak duduk setempat. Jika benar kerajaan sekarang tidak sah, mengapa terhenti sekarang laungan ‘Kerajaan Pintu Belakang’? Ia bukan satu perkara main-main. Merampas kerajaan seharusnya ditentang habis-habisan. Ia maruah negara. Namun tidak begitu yang terjadi. Mereka beralih kepada isu lain pula, walaupun ia belum habis. Kerana tahu ia tidak benar.

Isu seperti salah guna parlimen kerana hanya hadir mendengar titah ucapan, tiada perbahasan juga dinaikkan. Setelah dijelaskan kerajaan dan rakyat memahaminya, mereka menukar haluan isu mereka pula. Sehinggalah disiasat salah seorang Ahli Parlimen mereka. Naik pula khabar angin berkenaan Langkah Rawang bagi membuka pintu kepada seseorang untuk menjadi orang besar negeri. Kalau ia benar terjadi, mungkin Malaysia Guinness Book of Record boleh memahat rekod ahli politik paling banyak bertanding di kerusi berbeza.

Kekhilafan berkenaan minum isu air suam, bagaikan kera mendapat bunga, gembira betul mereka. Sehingga dicadangkan Ketua Pengarah Kesihatan dijadikan menteri. Eh, kalau Dr Noor Hisham naik jadi menteri dalam Kerajaan PN, akan terhentikah kutukan? Tak, mereka kutuk pula Dr Noor Hisham. Buktinya, Menteri Agama semasa menjadi mufti dahulu dipuja puji mereka. Tetapi bila jadi menteri Kerajaan PN, beliau jadi mangsakan?

Lihat sahaja bagaimana netizen yang memberikan komen ketika siaran langsung pengumuman oleh Menteri Agama bersiaran. Apa pula kritikan mereka berkenaan kelewatan SOP solat Jumaat, sunat Aidilfitri. Dari yang bawah sehingga ke atas, sama selagu, seirama. Bulan puasa? Arrhh peduli apa. Makin berpuasa, makin sedap melanyak, mengutuk.

Kini semuanya kelihatan seperti sudah ke penghujung. Sebahagian bukan Islam dalam kumpulan mereka, sekarang cuba menyanyi lagu raya, memujuk orang Melayu Islam, walau mereka tidak membayar royalti kepada katak kerana meniru suaranya. Bos besar pakatan mereka juga telah memperlahankan rentak. Ada satu waktu, beliau pergi berjumpa dengan PM Kerajaan Pintu Belakang dan khabarnya secara senyap-senyap.

Semua sudah hampir mahu berhenti. Mereka sedar rakyat sangat membenci mereka. Berpolitik tidak kira waktu dan tempat. Isu Najib tidak laku, isu mereka dibodohkan oleh Tun rakyat sudah tahu. Isu kebocoran mesyuarat mereka didengari rakyat. Perihal kata-kata Tun yang didakwa bahawa beliau membenci beberapa orang dalam pakatan mereka juga tersebar. Mana lagi ada jalan mahu memperdayakan rakyat. Tetapi Pan, masih bersemangat.

Tiba-tiba keluar beberapa orang kuat Pan, mengatakan bahawa PAS khadam kepada MCA. Mereka juga bertanya mengapa PAS diam membisu dengan isu pemandu mabuk. Istiqamah benar mereka menyerang PAS. Tanpa mereka membaca bagaimana Naib Presiden, Ketua Penerangan PAS sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan hal ini. Menteri dari MCA juga mahu hukuman lebih keras dikenakan. Tetapi kenyataan dari bos Pan, masih belum terlihat. DAP juga membisu. Khadam memang tidak sesekali mendahului tuannya.

Pan mungkin kecewa kerana diberitakan bahawa ada suara tertinggi dari dalam pakatan mereka sendiri, memperli ketua mereka sebagai pandai melawak sahaja. Ya sememangnya penghinaan itu jika berlaku, amat mengecewakan. Apa tidaknya, ketika mereka keluar dari PAS dahulu, mereka menobatkan diri mereka sebagai profesional, walaupun antara mereka tiada ijazah. Kemudian mereka mendakwa konon sudah tiada profesional yang tinggal dalam PAS setelah pemergian mereka.

Namun akhirnya mereka diperli rakan sekutu mereka. Apa sebenarnya berlaku? Saya yakin ini adalah kerana hilangnya rasa kepercayaan terhadap Pan dalam gabungan mereka. Pan terdesak mahu membuktikan sesuatu kepada rakan-rakannya dan menjadikan PAS sebagai sasaran pertunjukan mereka. Bagi mereka menyerang orang lain, mereka tidak pandai. PAS mereka fikir adalah mangsa yang lemah. Tetapi, mereka pula yang kelihatan lemah setelah bertubi-tubi menyerang, PAS makin maju ke depan.

Nilai berkhianat amatlah murah. Pernah diceritakan tiga orang askar Islam yang ditangkap. Ketiga-tiganya ditawarkan keampunan dengan syarat murtad. Dua setuju murtad dan seorang kekal dalam Islam. Dua orang askar itu kemudiannya dipaksa membunuh rakannya yang seorang itu. Maka dibunuhlah dia. Tetapi kemudian, berkata panglima musuh, bunuhlah juga kedua mereka, kerana kepada rakan mereka sendiri sanggup mereka bunuh, apatah lagi dengan kita, musuh mereka. Itulah nilai pengkhianat.

Najib khabarnya menyindir Khalid Samad dalam isu broker tanah. Sehingga sekarang Khalid dimaklumkan sudah kurang bersiaran di media sosial. Najib sentiasa mematahkan tuduhan Khalid. Akhirnya rakyat melihat siapa yang cuba menyeleweng. Pujian terhadap Dr Dzul dulu juga sudah berkurangan kerana kejayaan negara menghadapi wabak, tanpa khidmatnya.

Raja Bahrain, semua orang tahu bagaimana corak dia berpolitik. Mahfuz kita harapkan tak tercekik cekodok. Ada nampak Mujahid? Rasanya kurang nampak. Yang ada berlegar hanyalah video lama dia janji mahu ambil syarikat konsesi dan turunkan tol serta minyak jika menang.

Salehuddin Ayub tak dengar berita, Hanipa cuba mengocak keadaan dengan mengimbas kembali perihal perbicaraan Presiden PAS bersama beliau, tapi tiada sambutan. Husam sungguh lama tidak mendengar suaranya. Sibuk agaknya. Dr Syed Azman diam seribu bahasa, mungkin masih berbulan madu dengan isteri baharunya. Dr Hatta juga tidak kedengaran. Nik Omar, Ustaz Zolkharnain saya kurang pasti, masih bersama Yadim menerima gaji dari kerajaan haram atau sudah meletak jawatan.

Jika semua pihak berbalik kepada musuh seperti PKR kembali kepada Umno, DAP bersama Gerakan memeluk MCA, ke mana agaknya Pan mahu pergi dengan membawa Islam ala mereka itu? Sudah dilihat orang, Pan sepertinya bagai sejenis puak yang suka membelasah tanpa belas, walau kepada bekas kawannya. Apakah ada jaminan yang lain tidak akan terkena nanti? Saya tidak berminat untuk menyebut mungkin ada kes yang melibatkan pimpinan mereka. Rasanya inilah dilema yang Pan hadapi. Masih dipercayai lagikah Pan? Walaupun sebelum ini pun, amat sedikit yang mempercayainya.