Masalah Sosial, Salah Guna Teknologi Tambah Beban Guru

469

Selamat Menyambut Hari Guru, saya ucapkan kepada semua guru-guru di Malaysia. Sebagai warga pendidik yang telah banyak mengorbankan masa, tenaga dan mungkin juga sebahagian harta, pengorbanan anda sangat dihargai.

Masyarakat di sesuatu tempat akan berada didalam kegelapan jika mereka tidak mempunyai ilmu. Telah dinukilkan dalam lipatan sejarah, bagaimana Eropah suatu ketika dahulu dikatakan berada didalam zaman kegelapan akibat daripada ketiadaan ilmu.

Manakala tamadun Islam pula ketika itu, menguasai dunia dengan perkembangan teknologi yang tidak terfikir oleh ramai orang. Bangsa Eropah kemudiannya perlahan-lahan mengambil ilmu dari ketamadunan Islam ini dalam pelbagai cara dan akhirnya, mereka menjadi seperti sekarang.

Pokok pangkalnya, jika tiada golongan yang berkerja menjadi guru kepada ilmu ini bagi menyampai dan memahamkan masyarakat di Eropah ketika itu, nescaya tiadalah gunanya ilmu itu. Dan golongan inilah yang dipanggil GURU. Jelas, peranan mereka, telah berjaya mengeluarkan benua yang gelap kepada cahaya ilmu.

Namun, cabaran guru bukan sekadar memberikan kepandaian dunia sahaja, malah lebih jauh dari itu, peranan guru sentiasa ditagih bagi membentuk peribadi yang mulia. Tiada gunanya bangsa itu berjaya dengan keduniaan, tetapi gagal dalam perkara akhirat.

Apatah lagi dengan keadaan semasa yang sangat teruk dengan masalah sosial dan teknologi yang disalah gunakan. Ketika inilah keistimewaan guru dapat dilihat dengan melahirkan insan-insan yang berakhlak mulia, memberikan kemajuan dunia, sambil membentuk manusia menjadi hamba kepada Allah.

Semoga Allah membalas kebaikan dan jasa baik guru-guru sekelian dalam kerjaya membentuk dan membimbing ummah ke jalan yang diredhai.

Terima Kasih Cikgu, ikhlas dari saya

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
EXCO Kerajaan Negeri Terengganu
Merangkap Ketua Penerangan PAS Terengganu
30 Syaaban 1439/16 Mei 2018