Masalah Pengambilan Balik Tanah Rakyat Oleh Kerajaan Menurut Fatwa

836

Satu Fatwa yang diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berhubung masalah pengambilan balik tanah rakyat oleh kerajaan telah diwartakan di Laman E-Fatwa, Portal Rasmi Fatwa Malaysia.

Ketetapan Fatwa tersebut adalah seperti di bawah;

Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 17 Julai 1994 telah membincangkan fatwa mengenai masalah pengambilan balik tanah rakyat oleh kerajaan. Mesyuarat telah membuat keputusan bersetuju menfatwakan sebagaimana berikut:

1)Bahawa pengambilan tanah rakyat oleh kerajaan untuk pelaksanaan rancangan-rancangan kerajaan yang mempunyai maslahat umum adalah harus.

2)Adapun pengambilan tanah rakyat oleh kerajaan untuk orang perseorangan atau untuk projek yang tertentu maka hukumnya adalah sebagaimana berikut:

a) Hukumnya harus jika dipersetujui oleh pemilik tanah berkenaan.

b) Jika tidak dipersetujui oleh pemilik tanah tersebut dan tiada apa-apa maslahat umum padanya, maka hukumannya tidak harus.

c) Jika pengambilan tanah itu pada pandangan kerajaan sangat mendatangkan kebaikan kepada umum dan tiada pilihan lain bagi menggantinya maka hukumnya harus sekalipun tanpa persetujuan daripada pemiliknya.

3) Sebarang pengambilan balik tanah tersebut dengan syarat hendaklah diberi suatu pampasan yang adil kepada pemiliknya.

Tarikh Keputusan: 17 Julai 1994