Manifesto PAS Terengganu ‘Realistik’, Boleh Laksana

4190

KUALA TERENGGANU – Tawaran Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dikemukan oleh PAS Terengganu adalah ‘realistik’ dan boleh dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh Ustaz Hishamuddin Abd Karim berkata, walaupun janji tersebut diisytiharkan awal oleh kepimpinan PAS, namun ia tidak sedikit pun merugikan parti itu.

Bahkan katanya, rakyat negeri Terengganu mendapat manfaat lebih awal, sebelum daripada PAS menang kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan tertekan.

”kami pimpinan Dewan Pemuda ada bersemuka dengan pemimpin PAS negeri Terengganu (dan) kita tanya sebab apa kita nak umum (Manifesto) awal sangat? Kalau kita umum awal, Umno akan tiru,

”pemimpin kata kita sedar (perkara itu) tetapi kita memiliki mesej yang tersendiri bila mana kita lontarkan perkara (janji) ini rakyat akan dapat manfaat,

”Umno akan terdesak (dengan tawaran) PAS……oleh sebab itu, mereka tawar balik tanah kepada rakyat dan mereka segerakan kelulusan kepada rakyat,

”Dato’ Menteri Besar sendiri menyatakan bahawa (akhirnya kerajaan) akan bagi tanah sebanyak 5000 lot tanah untuk diberikan kepada rakyat,” jelasnya.

Maknanya kata beliau, mesej pemimpin dan kehendak PAS telah dilaksanakan oleh Umno-BN, kerana mereka terpaksa menyambut apa yang ditawarkan dalam Manifesto tersebut.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu itu berkata demikian ketika berucap pada sesi pertama Himpunan Harapan Semua PAS Ganti Umno Kali Kelapan (HARAP-PGU 3.8) di Kuala Ibai, pada petang Jumaat 23 Mac.

Sehubungan itu, beliau yakin melalui perancangan yang dibuat berdasarkan Manifesto PAS Terengganu, kerajaan akan datang tidak lagi bergantung kepada Dana Khas atau pun Royalti Petroleum.

Katanya, PAS telah membuat unjuran yang berupaya menghasilkan pendapatan sebanyak RM1 bilion dalam masa setahun.

Oleh itu, menurutnya, sokongan rakyat adalah diperluka supaya PAS menang pada pilihan raya umum akan datang dan dapat memperbaiki kerosakan ekonomi yang telah dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

“hari ini pemimpin kita lebih bersiap sedia nak ambil alih Terengganu ini (dan) kita sudah letak dan (satu) bentuk perubahan (dalam) pemikiran tak perlu bergantung kepada dana khas, royalti.

”Tapi saya nak bagi tahu, dia tak boleh (dicapai) dalam musim tahun yang pertama (dan) yang kedua,

”(kerana) kita perlu bentuk balik kekuatan ekonomi negeri setelah daripada kita memerintah (dalam tempoh itu) in shaa Allah dengan perancangan yang teliti disusun,

”kita akan boleh unjurkan hasil yang cukup baik sehingga mencecah RM1 billion,” tegasnya.

PAS Kawasan Kuala Terengganu menjadi tuan rumah kepada HARAP-PGU 3.8, merupakan himpunan terakhir mobilisasi rakyat menjelang PRU14, yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Program dengan tempoh yang lebih pendek dan padat, hanya selama sehari, berbanding himpunan di daerah lain, akan mengisytiharkan lima lagi Manifesto tambahan awal, untuk rakyat.