Mangsa Banjir Terus Meningkat Di Setiu

1031

Oleh : Ariss Alias

SETIU – Bilangan mangsa banjir terus meningkat di Setiu ekoran hujan lebat berterusan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata setakat ini enam buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu tiga buah di DUN Permaisuri dan tiga buah di DUN Langkap melibatkan 362 orang daripada 131 buah keluarga.

“InsyaAllah bantuan dan segala pengurusan mangsa banjir ini kita aturkan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) yang dilantik oleh kerajaan PAS Negeri Terengganu.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Setiu berkata sedemikian ketika dihubungi oleh wartawan Buletin Online (BO) sebentar tadi.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu Azmi Maarof berkata beliau berpuas hati dengan keadaan tiga buah PPS yang dibuka di DUN Langkap.

Shaharizukirnain Abd Kadir bertanya khabar mangsa banjir di PPS Merbau Menyusut
“Tiga buah PPS iaitu di Kampung Merbau Menyusut, Pengkalan Merbau dan Kasar diuruskan dengan baik oleh wakil-wakil parti PAS.

Beliau berkata sedemikian selepas ditemui wartawan BO selepas majlis penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di PPS Kampung Kasar.

Menurut portal http://publicinfobanjir.water.gov.my/ tiga sungai di Setiu telah merekodkan bacaan melepasi paras bahaya setakat pukul 8.40 malam ini iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dengan 21.95 meter (m) melebihi paras bahaya 21 m.

Dua lagi ialah Sungai Setiu di Kampung Besut mencatatkan bacaan 17.80 m melepasi paras bahaya 17.5 m dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok iaitu 8.41 m melepasi paras bahaya 8.40 m.