‘Malaysia Baharu’ Sepatutnya Bawa Gagasan Kesejahteraan

582

Secara faktanya, royalti minyak Terengganu telah cukup untuk diteliti melalui pelbagai medium. Senang nak dapat info dan kronologi royalti semenjak diperolehi Terengganu pada 1978 hingga dinafikan hak pada tahun 2000 semasa PAS berjaya mendapat mandat oleh rakyat Terengganu.

Menuju ‘Malaysia Baharu’ sepatutnya membawa satu gagasan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Malaysia secara lebih adil. Buang budaya politik melampau dan bina kembali objektif berpolitik yang menggunakan sistem federalisme secara saksama.

Saya tidak pasti sejauh mana keputusan pihak persekutuan khususnya Kementerian Kewangan terhadap komitmen royalti atau ‘dana khas persekutuan’ untuk Terengganu. Jika komitmen untuk bina Malaysia Baharu, saya kira kerajaan persekutuan perlu lebih bersedia memberikan komitmen memulangkan kembali hak rakyat Terengganu melalui saluran yang sah (kerajaan negeri). Bukan mengekalkan polisi lama yang telah diperkenalkan semenjak tahun 2000 yang lalu.

Inilah masanya untuk melihat sejauh mana komitmen kerajaan Terengganu dalam memacu ekonomi negeri dan pembelaan terhadap kebajikan rakyat. Dalam masa yang sama pihak kerajaan persekutuan tidak perlu bimbang dengan penyelewengan kerana semua agensi kerajaan persekutuan seperti SPRM, Jabatan Audit Negara, PDRM dan lain-lain sebenarnya cukup mampu untuk memantau malah mengenakan tindakan jika terbukti pihak kerajaan negeri melakukan salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan pelbagai lagi.

Kadar perolehan hasil untuk negeri pengeluar hanya 5% sahaja atas nama royalti. Kerajaan Persekutuan pula memperolehi sumbangan melalui Petronas dalam pelbagai jenis bayaran seperti royalti 5%, dividen, cukai pendapatan, duti dan lain-lain. Justeru, 5% royalti tidak wajar berkira sangat untuk negeri pengeluar minyak. Hormati perjanjian royalti dan kembalikan peluang untuk rakyat melihat bagaimana kerajaan baru negeri Terengganu membangunkan negeri dengan lancar.

Saya percaya dan menaruh harapan agar kerajaan baru tetap bersedia untuk memperbaiki kesilapan yang lampau.

YB Hishamuddin Abd Karim
Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu
ADUN Tepoh

#KembalikanroyaltiminyakTerengganu