Makna Kebebasan Media

589

Saya memahami kebebasan media dengan maksud berikut:

1. Bebas bukan bermakna kita bebas untuk berbuat apa sahaja tanpa sebarang ikatan dan peraturan. Dari segi media, bukanlah takrif
kebebasan itu dengan erti boleh tulis, siar dan terbit apa sahaja sesuka hati. Tetap perlu ada peraturan yang mengawalnya.

2. Kebebasan media bukan bermakna kita bebas menyebarkan propaganda, fitnah, cerita yang direka-reka, adu domba, penyelewengan fakta dan yang sewaktu dengannya.

3. Kebebasan bukan bermakna kita bebas dari sebarang ikatan dosa, pahala serta tanggungjawab moral.

4. Kebebasan juga tak bermakna kita boleh menceroboh hak peribadi orang lain.

5. Kebebasan bukanlah bermakna pihak pemerintah secara mutlak tidak mempunyai sebarang hak untuk mewujudkan kawal selia dalam sebarang organisasi media. Sebagai pemerintah mereka tetap perlu bertanggungjawab atas apa yang diterbitkan dan disiarkan.

10154952_448560315288941_2084643947211374395_nTetapi kebebasan bermakna:

1. Penggiat media samada media cetak, elektronik atau media baru mesti diberikan ruang yang sepatutnya untuk mereka menjadi agen penyebar maklumat yang telus kepada masyarakat.

2. Aktivis media pula khususnya yang beragama Islam mesti menggunakan ruang yang diberikan untuk mereka menjana pahala dari Allah dengan makna mereka mesti bertanggungjawab di hadapan Allah atas setiap huruf dan perkataan serta gambar, video dan sebagainya yang tersebar dalam masyarakat. Aplikasikan konsep dosa dan pahala dalam setiap kerja yang dilakukan.

3. Kebebasan juga bermakna aktivis media mesti melakukan kerja dengan penuh sifat professional, telus, adil, berhikmah, berhemah dan bertanggungjawab dalam setiap laporan. Ciri-ciri ini akan menjadikan kita seorang insan media yang dihormati serta dialu-alukan kehadiran dalam masyarakat.

4. Kebebasan juga bermakna semua pihak mesti diberikan ruang liputan dan penyebaran yang sama. Akhirya pembaca, pendengar dan penonton akan mampu menjadi hakim yang bijaksana apabila mereka mereka mempunyai pilihan fakta dan maklumat dari pelbagai sumber sebelum mereka membuat rumusan atas sesuatu isu yang berbangkit.

5. Kebebasan juga bermakna, perjalanan aktivis media untuk mendapatkan berita dari lapangan dan tempat kejadian mesti dipermudahkan tanpa sebarang sekatan yang tidak sepatutnya.

6. Kebebasan bermakna pemberian permit-permit penerbitan samada akhbar, majalah atau sebagainya mesti diberi pertimbangan sewajarnya berdasarkan alasan professional bukannya dengan campur tangan politik.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu
Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia 3, Mei, 2014