Majoriti AP Bukan Islam

1671

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Melayu Islam di Malaysia hari ini mencecah sehingga 69 peratus, tetapi yang menyedihkan majoriti Ahli Parlimen adalah terdiri daripada bukan Islam.

Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan, PAS Kawasan Dungun, Ustaz Jamaluddin Jusoh berkata ini bahananya  tidak bersatu di dalam membuat penilaian agama untuk memilih pemimpin.

“Tangan kita yang memilih majoriti pemimpin di Parlimen, mereka yang bukan Islam, akhirnya suara kita sudah tidak didengari. ” sambungnya ketika menyampaikan ceramah sempena Sambutan Maulidur di Masjid Kampung Batu Tiong di sini pada 20 September.

Maka tambahnya adalah wajar mereka  menggunakan Parlimen untuk kemaslahatan mereka.

Katanya PAS sudah lama mengajak orang Islam bersatu memilih pemimpin Islam tetapi ajakan ini tidak diambil peduli.

“Kesilapan kita, berpunca daripada kita dan apabila mereka telah berjaya mengambil kuasa politik, mereka gugat satu demi satu hak Islam, (hak)bumiputera diambil, ” luahnya dengan nada kesal.

Malah, tambah Ustaz Jamaluddin lagi mereka sedang berusaha untuk menghapuskan Islam sebagai agama rasmi, sistem raja berperlembagaan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu.

“Mereka memang nak buang supaya mereka boleh buat semahu-mahunya, raja ada kuasa, kalau kerajaan huru hara, raja boleh membubarkan DUN, ini ‘power’ raja, ” terang beliau kepada ahli qaryah kampung tersebut yang hadir.

Ustaz Jamaluddin turut memuji ketegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengarahkan pihak Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) Shah Alam menurunkan papan tanda nama jalan dalam dwi-bahasa Cina dan bahasa Melayu, sedangkan kawasan itu majoriti Islam.

“Maka kita kena bangkit supaya jangan hasrat DAP tercapai, sebab itu 8 haribulan ni kita mesti memastikan diri dan keluarga kita ke Himpunan Membantah ICERD,

“Demi menjaga status agama, bangsa bahkan raja kita, ” beritahunya di majlis anjuran bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK), Ahli Jawatankuasa Masjid dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun turut sama di majlis yang bertujuan memupuk semangat kerjasama di antara tiga entiti masyarakat itu di dalam usaha memajukan kampung tersebut.