Majlis Perasmian ‘Masjid Norazli Musa’

292

Majlis perasmian Masjid Norazli di Kelurahan Tipo, Kecamatan Ulujadi, Kota Palu oleh YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS.

Pembinaan Masjid yang diusahakan pembinaannya oleh Ustaz Norazli Musa, Presiden Pertubuhan Penyokong dan Pencinta Ulama’ (Geng Ustaz) dimulakan sejak Januari 2019, telah siap dan mula digunakan sejak awal bulan ini. Ustaz Norazli Musa menghembuskan nafas terakhir di Madinah pada bulan Mac lalu.

Ia dinamakan sempana nama beliau sebagai menghargai jasa besar beliau kepada masyarakat Palu yang ditimpa musibah gempa bumi dan dibadai tsunami. Ustaz Norazli Musa juga adalah Timbalan Pengarah PASRelief.

Majlis perasmian turut dihadiri oleh Walikota Palu, muwakif (pewakaf tanah) seluas 10 ekar, Presiden dan AJK Geng Ustaz berserta rombongan, Pimpinan Medicom, Pengerusi Yakesma, Ikadi, dan beberapa ORMAS Nasional Indonesia, penduduk dan pimpinan tempatan. Turut serta ialah Puan Mastura, balu Allahyarham Ustaz Norazli Musa serta anak beliau.

PASRelief diwakili oleh Hj Muhammad Sanusi Md Nor (Pengerusi) YB Ustaz Mohd Yusni Mat Piah (Pengarah) dan YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh (Timbalan Pengarah).

Masjid yang menelan belanja sekitar RM350,000 itu kini memberi manfaat kepada ribuan penduduk sekitar yang terjejas akibat masjid sekitarnya banyak yang rosak dilanda tsunami dan gempa bumi.

Rancangan berikutnya ialah mendirikan pusat tahfiz Al Quran dan pusat pendidikan Islam di belakang masjid itu di atas tapak seluas 10 ekar yang diwakafkan oleh seorang penduduk tempatan.

PASRelief akan turut menghulurkan bantuan dan berusaha menjayakan rancangan itu yang sangat diharapkan oleh penduduk tempatan yang dahagakan ilmu agama dan pengajian Al-Quran. Ia turut dialu-alukan oleh Walikota Palu dan pimpinan ORMAS tempatan.

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berharap usaha Geng Ustaz bersama pertubuhan-pertubuhan di Malaysia akan membawa kebaikan kepada masyarakat dan menyuburkan Islam ke seluruh dunia. Program-program kebajikan yang diusahakan oleh NGO-NGO di bawah PAS seumpamanya telah bertebaran ke seluruh dunia membawa mesej dakwah dan kebajikan yang sangat dituntut oleh Islam.

Geng Ustaz akan turut mengadakan majlis sembelihan haiwan korban di masjid itu pada hari raya Eidul Adha pada minggu ke dua bulan Ogos nanti.

Muhammad Sanusi Md Nor
Pengerusi PASRelief