Lynas : Pantau Operasi Dengan Syarat Yang Ketat

252

Kenyataan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad semalam bahawa kilang memproses nadir bumi Lynas boleh terus beroperasi di negara ini merupakan suatu kata putus terhadap pendirian Kerajaan baharu mengenai pengoperasian Lynas di Malaysia.

2. Walau bagaimanapun, pendirian tersebut perlu diikat bersama pra-syarat membaharui lesen kilang Lynas Advance Material Plan (LAMP) yang telah dikemukakan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada penghujung tahun yang lalu.

3. Secara asasnya, pra-syarat yang dikemukakan MESTECC itu juga seiring dengan syor oleh Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP 2018 yang ditubuhkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 September 2018 bagi melakukan penilaian terhadap aspek keselamatan, kesihatan manusia dan alam sekitar.

4. Antara syor dibawah “Pengurusan Sisa Pepejal Radioaktif dan Bahan Buangan Terjadual” telah menggariskan beberapa item termasuklah penyediaan tapak penstoran yang selamat bagi bahan buangan enapcemar “Neutralization Under Flow” (NUF) atau “Magnesium Rich Synthetic Gypsum” (MRSG) serta pembinaan fasiliti pelupusan kekal (PDF) bagi bahan buangan pepejal “Water Leashed Purification” (WLP).

5. Tambahan lagi, jika lokasi PDF bagi bahan buangan WLP itu gagal disediakan oleh pihak LAMP, maka bahan buangan tersebut perlu dihantar pulang berdasarkan komitmen yang telah dimeterai oleh kedua-dua syarikat Lynas Corporation Ltd., Australia dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. masing-masing pada 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012. Namun, pra-syarat yang dikemukakan MESTECC terhadap bahan buangan WLP lebih tegas iaitu menghantar sisa buangan ini keluar daripada Malaysia tanpa kompromi.

6. Hal yang demikian adalah disebabkan risiko bahan buangan WLP kerana mengandungi 6.2 becquerel per gram dan boleh diklasifikasi sebagai bahan radioaktif. Malah, berdasarkan statistik sejak 2013-September 2018, sebanyak 451,564 metrik tan bahan buangan WLP telah dihasilkan dan disimpan di Residue Storage Facility (RSF) yang turut berada dalam premis Lynas.

7. Pihak LAMP juga perlu menghantar Laporan Environmental Impact Assessment (EIA) serta Radiological Impact Assessment (RIA) – khusus bagi WLP – berdasarkan masing-masing kepada Jadual Kedua, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) Penilaian Lesen Kepada Alam Sekeliling 2015 dan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

8. Justeru, syor-syor serta pra-syarat yang dikemukakan terhadap Lynas ini tidak boleh dianggap remeh serta memerlukan pemantauan yang berterusan dan sistematik, meskipun laporan keseluruhan yang dikeluarkan terhadap Lynas termasuklah penilaian oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mendapati operasi Lynas mematuhi segala peraturan dan sangat terkawal. Pemantauan yang konsisten ini bagi memastikan supaya tidak timbul masalah yang lebih rumit pada masa akan datang.

Islam Memimpin

TUAN CHE ALIAS ABD HAMID
Ahli Parlimen Kemaman