Lima Soalan Untuk YB

469

Kita layan wartawan media perdana dengan soalan-soalan politik hari ni. Kalau dalam media nanti keluar lagu lain, di sini ada bukti jawapan asal kita.

Berikut lima soalan untuk YB jawab:

1. Boleh Dr. jelaskan sepintas lalu mengenai dasar ta’awun siyasi antara Pas dan UMNO.

Selepas usul ta’awun siyasi PAS – Umno diluluskan dalam Muktamar Tahunan PAS di Kuantan baru-baru ini, perincian tentang bagaimana dasar dan konsep ta’awun sedang diperincikan diperingkat pimpinan tertinggi kedua-dua parti. Tentunya agenda menjaga kepentingan Melayu Bumiputra dan Islam adalah fokus utama kepada perlaksanaan ta’awun ini.

Sampai masanya nanti, konsep dan dasar ta’awun ini akan diumumkan serta dilaksanakan. Kita sebagai ahli parti tentunya sentiasa memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan tertinggi untuk memutuskan apa yang terbaik.

2. Baru-baru ini Bersatu Terengganu mahu supaya kerjasama di bawah ta’awun siyasi itu dipercepatkan atas alasan ia memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan khususnya Bersatu. Apa pendapat Dr. dalam perkara ini?

Kerana agenda ta’awun ini diyakini akan mampu memberikan impak besar kepada halatuju politik negara khususnya dalam PRU 15 akan datang, maka ia diperhatikan oleh kawan dan lawan. Kita tak boleh menghalang pihak lain untuk memberikan pandangan dan ulasan kerana memang kita mengamalkan sistem politik terbuka. Rakyat boleh melihat bagaimana kedamaian dan ketenteraman suasana politik yang sedang berlaku di Terengganu sekarang apabila dua parti terbesar orang Melayu Islam di Terengganu iaitu PAS dan Umno membuka lembaran baru dengan mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera. Rata-rata rakyat di bawah sangat selesa dengan perkembangan ini dan sangat berharap supaya situasi damai ini berterusan.

3. Pengerusi Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berpendapat penyokong fanatik Pas dan juga UMNO akan menentang ta’awun seterusnya keluar parti untuk menyokong PH khususnya Bersatu. Apa komen Dr.?

Semoga mimpi dan harapan Pengerusi Bersatu Terengganu menjadi nyata. Selamat maju jaya Dato’!

4. Dari sudut lain, pucuk pimpinan Bersatu Terengganu mendakwa ta’awun antara Pas dengan UMNO itu menguntungkan Pas kerana bagi parti itu, UMNO adalah pembangkang yang kuat sekali gus mengelak kekalahan Pas kepada BN khususnya UMNO di Terengganu pada 1999 berulang. Mungkin Dr. ada pendapat untuk dikongsikan bersama?

Ta’awun antara PAS dan Umno akan menguntungkan Melayu, Bumiputra dan Islam. Tiada siapa yang mampu menafikan bahawa di Terengganu hanya ada 2 parti yang benar-benar wujud di alam nyata iaitu PAS dan Umno. Dua parti inilah yang mencorakkan bagaimana halatuju politik negeri ini. Parti-parti dalam PH termasuk Bersatu perlu bekerja lebih keras lagi untuk memenangi hati rakyat supaya rekod kalah dengan hilang wang pertaruhan di semua kerusi yang ditandingi dalam PRU 14 boleh diperbaiki.

5. Bagaimana Dr. melihat perkongsian kuasa termasuk pembahagian kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu sekiranya piagam muafakat di bawah dasar ta’awun siyasi dilaksanakan kelak?

Masih terlalu awal untuk mengulas isu ini. Duduk dulu baru bersila. Jangan bersila sebelum duduk.

Dr Azman Ibrahim