Lebih Sakit Jika Kalah Selepas Menang

2958

Oleh : Nooreni Abu Bakar

BESUT- Kekalahan yang diterima selepas merasai kemenangan adalah lebih sakit jika dibandingkan menerima kekalahan setelah pernah dikalahkan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, YB Senator Dato’ Ustaz Haji Husain Awang mengimbau pengalaman setelah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Terengganu gagal mengekalkan kemenangan dipilihan raya umum tahun 2004.

“Betapa teruknya pengalaman kita menerima kekalahan dan betapa hebatnya kita ketika menerima kemenangan”, ujar beliau ketika menyampaikan taujihat kepada Muslimat PAS Kawasan Besut.

Taujihat Mengisi Kemenangan itu yang telah diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut , Gong Kemuntong, Jerteh pada 17 Oktober di sini.

Ahli Dewan Negara itu juga menyebut bahawa kemenangan adalah satu amanah yang dianugerahkan oleh Allah.

“Jadi ingatlah ini adalah amanah yang dibebankan oleh Allah dan terbeban ke atas diri kita sendiri disamping amanah oleh rakyat untuk kita uruskan pentadbiran negeri”, ujar beliau lagi.

Ustaz Husain turut mengingatkan, mengkhianati amanah itu satu dosa yang sangat besar di sisi Allah.

“Bila nama amanah, bukan saja pemimpin bertanggungjawab tapi semua orang kerana yang mengajak rakyat untuk undi kita(PAS), adalah kita sendiri, kita yang ajak, desak, rayu dengan kemukakan kebaikan dan janji”, katanya.

Oleh itu, Ahli Majlis Syura Ulama PAS itu menambah, untuk memperkukuh dan melanjutkan usia kerajaan yang sama-sama didokong ini, hendaklah meramaikan anggota.

“Kita kena ingat bahawa tarbiah dan pendidikan, mengadakan usrah, tamrin dan sebagainya merupakan satu asas kejayaan yang dicapai oleh Rasulullah SAW,

“Ibnu Khaldun telah menyatakan bahawa sesungguhnya dakwah keagamaan akan menambahkan kekuatan kerajaan dan juga negara,

“Dan kita menjadi anggota yang sentiasa mencari dan sentiasa berada bersama-sama dengan perkembangan yang berlaku di dalam parti dan di dalam jemaah,” jelas beliau.

Untuk mengekalkan kemenangan juga, tegasnya. mestilah menjadikan diri sebagai contoh kepada masyarakat.

“Biar kita ada ilmu, maklumat, pengetahuan dan pemahaman dalam menjalankan tugas samada tugas sebagai ibu bapa, tugas sebagai jiran dan sebagainya,

” kerana orang yang tiada ilmu, tiada maklumat adalah orang yang tiada apa-apa, orang yang tiada apa-apa tak boleh beri perkhidmatan pada orang lain”, tambahnya lagi. |

Beliau berpesan kepada muslimat yang hadir bahawa perjuangan bukan kerana individu.

“Kita hendaklah mempertahankan Islam, bukan untuk mempertahankan orang…mewujudkan rakyat yang berkasih sayang kerana Allah”, katanya di hadapan kehadiran mencecah hampir 500 orang muslimat daripada seluruh Besut.