Lawatan PM Ke Vietnam Gagal?

190
17 nelayan Vietnam ditahan, nilai rampasan RM1.7 juta (Utusan Malaysia)

Oleh : Suhaimi Taib

Lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Vietnam berkait dengan hubungan dua hala antara kedua-dua anggota ASEAN khususnya mengenai sekatan kemasukan nelayan Vietnam ke Perairan Malaysia disifatkan ‘gagal’.

Persoalan timbul kenapa berterusan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak putus-putus menahan nelayan asing dengan bot dan hasil tangkapan berjumlah berjuta-juta ringgit

Yang terbaru di Kemaman dilaporkan, sebanyak dua buah bot nelayan asing yang dinaiki 17 nelayan termasuk tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu berserta nilai rampasan RM1.7 juta selepas menceroboh perairan negeri ini kelmarin.

Penahanan itu dilakukan dalam tempoh tidak sampai 10 hari selepas Tun Mahathir bertemu dengan penguasa Vietnam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli dilaporkan sebagai berkata, dua bot bersama 17 nelayan Vietnam berusia 20 hingga 53 tahun itu ditahan pukul 9.30 pagi dan 11.15 pagi Ahad lalu pada kedudukan 145.2 kilometer hingga 147.4 kilometer timur laut Tanjung Mat Amin, Kuala Kemaman.

Beliau memberitahu, selain dua bot yang ditahan itu, sebanyak 2,000 kilogram ikan campur, 2,000 kilogram ikan baja, diesel dengan anggaran 2,000 liter dan peralatan menangkap ikan turut dirampas.

“Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM1.7 juta, bot serta hasil rampasan bersama nelayan Vietnam ini telah dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman pukul 2.35 petang semalam. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen dan kebenaran yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

“Selain itu mereka juga akan disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan dan juga Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.” katanya ketika ditemui media di sini baru-baru ini.

Muhammad Suffi berkata, Op Naga Barat Siri 1/2019 yang bermula pada 26 April 2019 hingga sekarang telah berjaya membuat 1,637 pemeriksaan dan 96 tangkapan yang merangkumi semua pemeriksaan dan tangkapan pelbagai agensi yang terlibat dalam operasi itu.

“Jika sabit kesalahan, tekong berkenaan boleh didenda RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun dan awak-awak boleh didenda RM100,000 setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun dan dilucutkan hak ke atas vesel berkenaan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kesemua nelayan asing itu dikenakan tahanan reman selama 14 hari berakhir 17 September ini.

Muhammad Suffi menarik perhatian, sehingga 31 Ogos lalu, Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia berjaya memungut sebanyak RM8.8 juta hasil daripada denda yang diperintahkan oleh mahkamah dan sebanyak 25 buah bot daripada 96 kes dilucut hak.

Jelasnya lagi, operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan tanpa henti dan Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dicuri dan dirompak oleh nelayan-nelayan asing.

Difahamkan antara sebab kenapa nelayan vietnam sentiasa menceroboh perairan Malaysia ialah kerana Kerajaan Vietnam sendiri menggalakkan rakyatnya pergi menangkap ikan di luar laut Vietnam.

Dikatakan, perairan mereka tidak terdapat banyak ikan seperti di perairan Malaysia dan sebanyak sebuah bot nelayan dikeluarkan setiap hari di negara itu

Ini menunjukkan betapa seriusnya golongan nelayan asing berusaha menangkap ikan ke merata tempat di seluruh dunia termasuk di perairan Laut China Selatan.