Lantik Konsultan Syariah Dalam Pembikinan Filem

345

Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyarankan supaya dilantik konsultan Syariah agar perjalanan satu-satu filem yang membawakan tema ‘kontroversi’.

“Pun begitu, kami mencadangkan supaya dilantik konsultan Syariah agar perjalanan satu-satu filem yang membawakan tema sebegini, dapat mengelakkan sebarang isu-isu sensitif melibatkan agama.

“Sebaiknya, rujukan kepada konsultan Syariah dilakukan sejak dari awal pembikinan skrip sehinggalah selesai penggambaran keseluruhan filem,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam tulisannya,Bayan Linnas Siri Ke- 154 : Pendirian Mufti Wilayah Persekutuan Berhubung Isu Polis Evo 2, yang disiarkan di laman rasmi Mufti.

Secara umumnya, beliau berpandangan filem tersebut tidak mengandungi sebarang mesej penghinaan kepada Islam.

Sebaliknya kata beliau, ia lebih mengenengahkan fahaman fanatik sesat yang memberi ancaman kepada negara.

Justeru beliau mencadangkan agar pihak produksi filem mengelakkan mana-mana jalan cerita yang membawa kepada kekeliruan kepadakhalayak.

”Kami juga mencadangkan kepada produksi agar meletakkan penjelasan pada awal filem atau pada addendum,

“berkenaan kesamaran dalam jalan cerita (mungkin sengaja diletakkan pada subteks) yang mungkin terdedah kepada salahfaham terhadap agama,” jelasnya.

Katanya, bukanlah niat dan tugas pihaknya, untuk menapis semua filem-filem tanahair.

Namun katanya, ia dilakukan atas rasa tanggungjawab kepada agama dan tanahair dalam membawa satu warna baru dalam industri perfileman tanahair.

“Sepatutnya, inilah tanggungjawab kita bersama khususnya di pihak produksi untuk lebih cakna terhadap isu-isu yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat,” tambah beliau.