Lagi Laporan Polis Terhadap LGE Yang Biadap

828

Oleh: Saifullah Jusoh
Foto: Afiq Zohir

BESUT – Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut (DPPKB) telah membuat satu laporan polis dan mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat kenyataan biadap berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ketua DPPKB, Hakim Zulfikri berkata kenyataan secara terbuka Lim Guan Eng tersebut secara langsung akan menimbulkan ketegangan dan salah faham antara kaum di Malaysia.

“Kami dari pemuda PAS menggesa supaya pihak polis mengambil tindakan sewajarnya ke atas Lim Guang Eng yang terlampau biadap dan boleh menimbulkan api kebencian dalam masyarakat.

“Kenyataan sebegitu sepatutnya tidak dikeluarkan olehnya yang merupakan Menteri Kewangan kerana ianya akan memberi kesan yang buruk kepada negara yang majoriti adalah rakyat yang berbangsa Melayu dan beragama Islam,” tegas Hakim.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada 14 November lalu yang turut disertai oleh Setiausaha DPPKB, Syamri Razak dan Ahli Jawatankuasanya.

Menurut Hakim, DPPKB juga berharap pihak polis dapat menyiasat insiden ini dan mengambil tindakan terhadap individu yang menyampaikan ucapan tersebut dibawah peruntukan undang-undang yang ada khususnya Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.