Kurikulum PASTI Terbukti Lahirkan Pelajar Unggul

1221

Oleh : Rohayati Ripin (RSR)

KUALA NERUS – Kurikulum Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) telah terbukti berjaya menghasilkan pelajar pintar yang banyak mengungguli kecemerlangan diperingkat sekolah rendah.

Mantan Timbalan Ketua Pengarah PASTI Malaysia Ustaz Zakaria Dagang berkata, mereka yang menyambung pelajarannya amat mudah apabila masuk ke mana-mana sekolah kerajaan.

“Kurikulum PASTI digubal oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada pakar-pakar pendidikan dalam negara ini. Ia telah melalui beberapa peringkat penambahbaikan dan pemerkasaan bagi tujuan pemantapan pendidikan prasekolah Islam itu.

“Kurikulum itu meliputi tahap-tahap murid empat tahun, lima tahun dan enam tahun. Bahkan ia juga termasuk kurikulum pratahfiz ke arah melahirkan calon-calon huffaz.(penghafaz),” ujarnya.

Beliau yang juga Mantan Pengarah PASTI Negeri Terengganu berkata demikian selepas Majlis Ihtifal PASTI DUN Seberang Takir pada hari Sabtu, 17 November.

Oleh itu katanya, isu mengambil atau meniru kurikulum PASTI untuk diterapkan ke dalam sistem prasekolah lain bukanlah satu perkara baharu.

Tambah Ustaz Zakaria, ia telah berlaku sebelum ini, di mana Kementerian Pendidikan suatu ketika dahulu pernah menceduk sebahagian kurikulum PASTI dalam penggubalan kurikulum prasekolah kementerian yang digunapakai di kelas-kelas prasekolah di sekolah kebangsaan pada hari ini.

“Sesungguhnya PASTI telah berjaya melakukan anjakan paradigma dalam sistem pendidikan prasekolah di negara ini.

“Hasil daripada pengaruh besar sistem yang dilaksanakannya, telah menjadi suatu ikutan dan trend baharu dalam sistem pendidikan prasekolah arus perdana,” jelasnya.

Justeru beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin mencontohi kurikulum PASTI.

“Ia menjadi satu pengiktirafan kepada PASTI dan sekaligus menafikan tuduhan liar selama ini kepada PASTI dengan melabel pelbagai fitnah buruk,” tambah beliau.