Kuliah Muslimat Bantu Perkasa Ilmu Islam

380

Oleh : KHALID ABDULLAH

KEMAMAN – Aktiviti kuliah muslimat ternyata dapat membantu memperkasakan kefahaman ilmu Islam dan memantapkan kerohanian golongan tersebut.

Ketua Muslimat PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Ustazah Narliati Lamshah berkata demikian selepas menyampaikan kuliah muslimat di Masjid Kerteh 5, Ketengah Jaya, di sini, 6 Januari.

Ustazah Narliati Lamshah sedang menyampaikan kuliah

“Selepas bersama mereka, golongan muslimat di tanah rancangan FELDA ini sangat memerlukan aktiviti-aktiviti kerohanian seperti bacaan Yasin dan kelas agama terutamanya dalam mendekati diri kepada Allah SWT.

“Memiliki kerohanian yang sihat membolehkan kita menjalani kehidupan seharian secara memuaskan lagi bermakna.

“Kerohanian memberi maksud mempercayai Yang Maha Kuasa dan kehidupan di hari kemudian.

“Sandaran kita sebagai orang Islam ialah supaya amalan dan perbuatan terkawal dan terpedoman ke arah kebaikan.

“Kerana adanya faktor dosa pahala dan halal haram yang menjadi pertimbangan manusia beriman sebelum melakukan sesuatu,” kata Ustazah Narliati.

Menurut beliau lagi, pengisian kuliah yang diadakan setiap hari Ahad, sejak awal bulan Oktober bertumpu kepada pengajian ilmu Fekah dan sambutan oleh muslimat warga FELDA sangat mengembirakan.

Shahanum Bidin

Sementara itu, Setiausaha Muslimat PAS Cawangan FELDA Kerteh  5, Shahanum Bidin, 58, sangat terharu dengan sambutan muslimat warga FELDA terhadap setiap majlis ilmu yang diadakan di perkampungan mereka.

“Zaman suram sambutan masyarakat khususnya muslimat kepada majlis kerohanian seperti ini sudah berakhir.

“Buktinya dalam masa yang singkat sahaja hampir 70 muslimat hadir pada setiap Ahad, mengikuti kuliah muslimat ini,” kata beliau.