Kuasa Rakyat Pada PRU-14

212
Penamaan calon parlimen Dungun PRU-14

Oleh : Mohd Zabidi Yusof

Pada 9hb mei 2018 adalah satu tarikh keramat yang amat bermakna dalam sejarah Malaysia moden selepas 61 tahun Umno/BN ditumpaskan dalam pilihanraya umum negara selepas berkuasa semenjak tahun 1957 lagi .

2. Sebelum PRU-14 penguasaan kerajaan umno/Bn cukup kuat dan mencengkam bahkan dengan kuasa yang mereka miliki telah mewujudkan urustadbir negara dikawal sepenuhnya oleh kuasa politik pembesar umno dan rakan sekutu mereka hinggakan peranan pembangkang dinafikan dan diketepikan dalam apa jua cara termasuk menggunakan bermacam akta dan undang-undang menyekat hak dan kebebasan rakyat yang dijamin di dalam perlembagaan persekutuan. Penyalahgunaan kuasa melalui agensi kerajaan untuk mengawal pemikiran rakyat dengan hanya mendendangkan irama dan lagu bahawa tanpa umno/bn negara pasti tidak maju, negara mundur dan sebagainya. Akhirnya kurafat ini telah berjaya dikeluarkan dari pemikiran rakyat jelata.

3. Sebenarnya sejarah politik tukar-menukar kerajaan pada mana-mana PRU yang lepas adalah sesuatu yang tidak pelik bagi rakyat jelata di negeri Kelantan. Semenjak merdeka kita tengok sejarah rakyat Kelantan telah beberapa kali tukar kerajaan negeri. Dalam era kerajaan Perikatan, Pas telah menang dalam pilihanraya 1969 dan berkuasa di Kelantan sehingga tahun 1978. Tengku Razaleigh adalah akitek yang menjatuhkan Kelantan pada tahun tersebut. Akhirnya bulan purnama telah gerhana di Kelantan sehingga tahun 1990 apabila Angkatan Perpaduan Ummah terdiri daripada Pas dan Semangat 46 (parti serpihan Umno) telah berjaya mengalahkan umno/bn dengan lebihan kerusi 39-0 di Kelantan. Gerhana bulan purnama di Kelantan hanya selama 12 tahun sahaja. Tengku Razaleigh juga yang bersama dengan Pas mengambil balik Kelantan daripada Umno/Bn. Uniknya politik di Kelantan. Sehingga hari ini setelah hampir 28 tahun pas masih berkuasa di Kelantan setelah melalui cabaran pasang surut bah politik tanahair namun akar umbinya tetap utuh dan mantap tidak tercabut sekalipun badai dan ombak membadai pantai dengan ganas.

4. Samada kita setuju atau tidak , pemikiran rakyat Kelantan telah menjadi icon kepada rakyat di negeri lain bahawa dalam demokrasi tiada istilah takut dan kecut perut untuk tukar kerajaan pada musim pilihanraya umum. Sekalipun Kelantan dikritik dan dipandang rendah kerana ukuran kemunduran pembangunan dan hasil sumber pendapatan negeri yang terhad, namun kemajuan pemikiran dan celik politik dan celik niaga yang tinggi telah meletakkan bangsa melayu Kelantan berani berdiri gagah di setiap penjuru tanahair kita dalam apa jua lapangan. Kita percaya Politik rakyat Kelantan terbentuk sedemikian kerana hasil tarbiyah kepimpinan almarhum Tok Guru Nik Aziz, selaku mantan Menteri Besar Kelantan hampir 23 tahun. Oleh itu adalah tidak tepat kalau hanya ada pendekatan pihak tertentu mengambil aliran pemikiran almarhum hanya dalam bab tertentu tetapi tidak mengkaji dan memahami secara holistic pemikiran beliau dalam banyak perkara.

5. Semasa Pas dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan Dap telah berkongsi kuasa di beberapa buah negeri selepas PRU -12 dan PRU-13 umpamanya di Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Perpecahan dalaman Pakatan Rakyat membawa Pas bersama dengan rakan lain membentuk blok ketiga dengan gagasan sejahtera manakala bekas rakan lain membentuk Pakatan Harapan.

6. PRU-14 telah membawa kejatuhan Umno/Bn oleh Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamed dan beliau terus dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke-8. Suka tidak suka itulah sebuah harga yang mahal perlu dibayar oleh rakyat jelata di atas segala kepincangan dan kerosakan negara yang telah dilakukan oleh pemimpin kerajaan terdahulu. Rakyat jelata telah bosan dengan segala hal yang menghantui kehidupan harian mereka. Rakyat bosan dengan kekayaan yang dimiliki oleh pemimpin kerajaan. Rakyat bosan dengan bermacam salah laku korupsi dan rasuah berskala besar dan kecil. Cukai yang membebankan. Kos sara hidup yang tinggi.

7. Nampaknya akitek yang membina umno dan yang menjatuhkan umno adalah dari tangan akitek yang sama. Sewaktu umno diharamkan pada tahun 1987 yang lalu, akibat daripada pertandingan jawatan presiden umno antara Tun Mahathir dan Tengku Razaleigh maka umno (baru) telah didaftarkan semula.

8. Rakyat menolak rejim Umno/bn setelah mereka yakin dengan kepimpinan Tun Mahathir bersama Pakatan Harapan untuk membawa keluar negara dari masalah ekonomi, korupsi,kleptokrasi dan hutang berjumlah RM1 trilion. Rakyat hanya bercagar kepada track record Tun Mahathir bukan kepada individu lain. Ertinya selain daripada Tun Mahathir rasanya belum tentu perubahan boleh berlaku. Samada tempoh satu penggal untuk Pakatan Harapan memenuhi janji-janji manifesto cukup atau tidak akan sama-sama kita tunggu dan lihat.

9. Bagi Pas yang berkerajaan di Kelantan dan Terengganu serta membina kekuatan pengaruh di Kedah dan Pahang tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian yang ada sebaliknya usaha mengisi kemenangan di Kelantan dan Terengganu mesti dijadikan focus utama khususnya dalam membina ekonomi negeri dan taraf sosial rakyat menurut acuan Islam sebagai ad-din. Kedudukan ekonomi di dua buah negeri ini yang telah umum ketahui adalah ketinggalan jauh jika di banding dengan negeri maju seperti Selangor.

10. Oleh kerana itu pakar-pakar ekonomi, ahli-ahli perniagaan, pelabur-pelabur dan pakar kewangan dari seluruh negara hendaklah dijemput untuk diberi peluang mereka meneroka peluang-peluang perlaburan dengan kerajaan negeri menjadi pemudahcara dan memberi insentif dari sudut premium tanah, kadar sewaan, tempoh pajakan dan tiada karenah birokrasi di peringkat Unit Perancang ekonomi bagi menjadikan negeri ini mesra pelabur. Pada masa yang sama kerajaan negeri memperkuatkan sektor perniagaan sedia ada supaya lebih berdaya maju dengan memberi bantuan pinjaman mikro dan sebagainya. Industri pelancongan cukup menarik untuk di beri perhatian dengan kelebihan alam semulajadi yang dimiliki oleh Terengganu. Rangkaian pulau-pulau yang menarik dan pantai bertaraf dunia serta lautan cantik yang penuh dengan kehidupan marin adalah asset yang perlu ditambah nilai. Pelancongan tidak wajar dikaitkan dengan pesta minuman keras, hiburan melampau dan pergaulan bebas, tetapi nilai tarikan pelancongan mesti di bawa kepada penyatuan nilai-nilai moral dan keindahan alam semesta.

11. Agenda menaikkan taraf pendapatan rakyat dan memakmurkan peluang ekonomi mesti dirangka secara berkesan dan perlaksanaan dasar ekonomi tidak hanya dizikirkan di bibir mulut pemimpin tanpa dihayati dan diperturunkan ke gelanggan sebenar. Agenda mengurangkan kadar kemiskinan dan perumahan rakyat mampu milik mesti dirangka dengan penuh kebijaksanaan dan berpandangan jauh dengan mengambil kira bahawa rakyat dapat rumah dan kerajaan tidak pula terbeban menanggung rugi kerana kos dan sebagainya.

*** Mohd Zabidi Yusof ialah seorang Peguambela Dan Peguamcara