Kontroversi Ucapan Selamat Perayaan Agama

1920

– Dua Pendapat Boleh, Tak Boleh – Mufti Terengganu

KUALA TERENGGANU – Islam mengharamkan ucapan tahniah atau selamat kepada orang bukan Islam bersempena perayaan agama mereka seperti Hari Natal, Hari Krismas atau lain-lainnya mengikut pendapat Ibnu Qayyim dalam kitabnya Ahkam Ahl Al-Zimmah.

Sahibus Samahah Mufti Negeri Terengganu, Dato’ Dr Zulkifly Muda berkata, pendapat lain oleh Ibnu Uthaimin dalam kitabnya Majmu’ Al-Fatawa juga mengatakan memberi ucapan selamat kepada orang bukan Islam terhadap hari raya agama mereka adalah diharamkan.

Ini kerana, kata Dato’ Dr Zulkifly, pendapat Ibnu Uthaimin itu juga tidak membenarkan umat Islam redha dengan syiar kekufuran tersebut.

“(Ucap selamat) Ia bererti mengakui dan redha dengan syiar kekufuran mereka. Seseorang muslim diharamkan redha dengan syiar kekufuran. Allah SWT berfirman yang maksudnya.

“Jika kamu kafir, maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (iman) mu dan Dia tidak meredhai kekufuran bagi hambaNya dan jika kamu bersyukur, nescaya Dia meredhai bagimu kesyukuran mu (Al-Zumar, 7),” jelasnya dalam satu kenyataan kepada media.

Namun, kata Mufti itu terdapat juga pandangan kedua lain yang membenarkan ucapan selamat perayaan kepada kaum bukan Islam seperti pendapat Syeikh Mustafa Zarqa’.

“Di sana ada pandangan kedua yang membenarkan memberi ucapan selamat perayaan kepada orang bukan Islam. Antaranya mereka yang berpendapat begitu ialah Syeikh Mustafa Zarqa’ seperti yang dinukilkan Salam Al- Fatawa.

“Alasannya ialah ia hanya sebagai cara menjaga keharmonian di kalangan anggota masyarakat yang berbilang agama. Namun, janganlah ucapan itu disertai dengan redha dengan agama dan perayaan mereka itu,” jelasnya.

Justeru itu, katanya Jabatan Mufti Negeri Terengganu berpandangan bahawa pendapat yang kedua itu lebih realistik dengan suasana di Malaysia.

Namun, pendapat beliau itu biarlah ia hanya sekadar ucapan sahaja tanpa turut disertai dengan merayakannya.

Tegas Dato’ Dr Zulkifly lagi, perlu diingatkan ucapan perayaan orang bukan Islam adalah haram diucapkan di kalangan sesama Islam.