Konflik Syria Semakin Dilupakan?

198

Oleh : Dr Suhazeli Abdullah

Selepas tujuh tahun berlalu, konflik peperangan Syria dan penderitaan pelarian rakyatnya semakin dilupakan. Keperitan hidup mereka hanya dikongsi oleh para pengunjung dan relawan yang sudi bertandang dikawasan penempatan pelarian.

Pelarian di Rayhanli, Antakya sempadan Turki boleh dikatakan sedikit bertuah kerana Negara Turki banyak membantu. Begitu juga dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang banyak menghulurkan bantuan.

Akan tetapi masih ramai lagi rakyat Syria yang masih berada di dalam negara mereka. Mereka tidak dapat keluar ke Turki atau negara-negara lain kerana banyak sekatan yang dikenakan.

Imbas kembali kenapa tercetusnya perang di Syria ini. Ianya bermula dengan lukisan mural dinding sekolah yang menulis “Your Turn, Doctor”. Mural itu dilukis oleh seorang remaja berumur 14 tahun bernama Naief Abazid di Bandar Daraa. Tulisan ringkas itu memberi impak besar kerana ianya merujuk kepada beberapa kejatuhan kerajaan di Timur tengah pada ketika itu.

Kebangkitan “Arab Spring” memuncak sehingga jatuhnya kerajaan Tunisia, Libya dan Mesir. Justeru lukisan mural itu merujuk kepada Presiden Bashar al-Assad (seorang doktor pergigian) dan regimnya akan dijatuhkan oleh kebangkitan rakyat.

Naief Abazid dan beberapa remaja lain lagi telah ditangkap, disiksa dan dibunuh dengan kejam. Rakyat Syiria terus bangkit untuk menuntut keadilan sehingga terbentuknya beberapa kumpulan jihad yang berjuang membebaskan Syria dari kekejaman Bashar. Akhirnya tercetusnya peperangan yang berlarutan sehingga sekarang. Rakyat yang lemah terus terhimpit dengan konflik ini.

Dianggarkan seramai 350,000 hingga 500,000 mati akibat peperangan ini. Keseluruhan rakyat Syria yang terlibat dalam konflik ini mencecah 13 juta orang. Seramai 6.1 juta mangsa masih lagi berada dalam zon perang. Mereka ibarat seperti telur dihujung tanduk, menunggu jemputan syahid bila-bila masa sahaja. Satu jumlah yang besar yang memerlukan satu solusi untuk membantu mereka keluar dari konflik yang berpanjangan ini.

Konflik ini bukan melibatkan permusuhan mazhab. Walau tidak dinafikan pemerintah Syria dikuasai oleh golongan Syiah dan para rakyat yang menuntut kebebasan pula bermazhab Sunni. Namun isu yang utama adalah ketidakadilan, kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh pemerintah. Inilah mesej yang cuba dibawa oleh para pejuang yang berjuang di bumi Syria.

Kemampuan kita hanya membantu mangsa pelarian. Dana samas seriyal yang dikutip setiap tahun akan diberikan kepada mangsa-mangsa pelarian Syria samada melalui Turki, Jordan atau Lubnan. Kempen bantuan musim sejuk seperti ini kita lakukan kerana menyedari mereka berada dalam keadaan yang dhaif dan amat-amat mendesak. Musim sejuk adalah bencana bagi mereka. Tidak dapat bergerak mencari sesuap makanan kerana kesejukan dan salji.

Misi bantuan #WinterAidSyria pada tahun ini berjaya dikutip sehingga mencecah RM400 ribu. Kita telah sempurnakan amanah ini dengan membeli barang-barang keperluan harian, baju sejuk, selimut tebal, peralatan sekolah dan wang perbelanjaan sepanjang musim sejuk.

Semoga sumbangan dari para penderma terus mengalir sebagai satu jihad harta dan dikira sebagai amalan soleh.

*** Dr Suhazeli Abdullah, sedang berada di medan Syria, mengetuai Delegasi #WinterAidSyria, NGO Iman Care