Kisah Ummu Zaid

278

Membaca berita-berita berkenaan penderaan anak-anak kecil oleh ibu-ibu yang melahirkan mereka membuatkan saya tergerak untuk memasukkan catatan ini.

Seorang teman sekelas bernama Zaid Ghazi Solleh, seorang teman yang baik. Dari tahun pertama lagi saya perhatikan setiap hari beliau akan datang ke kuliah menaiki coaster bersama-sama seorang wanita lingkungan usia 50 an. Wanita tersebut akan menunggu di luar pintu dewan kuliah setiap masa, juga menunggu di luar pintu makmal termasuk menunggu di luar pintu klinik ketika kami menjalani sesi klinikal. Masa makan di kantin pun ditemani bahkan bila Zaid masuk ke bilik air pun, wanita ini akan tetap menunggunya di luar!

Mendengar teman-teman yang lain memanggil wanita tersebut dengan nama ‘Ummu Zaid’, fahamlah saya bahawa beliau adalah ibu kepada teman saya Zaid Ghazi Solleh.

Mustansiriya_University_sizedAwalnya, bila melihat kehadiran beliau setiap hari ke universiti, saya menjangkakan bahawa ibu ini adalah salah seorang kakitangan universiti yang mengambil ruang ketika sedang bekerja untuk mengambil berat hal anaknya yang sedang belajar sehingga saya pernah ajukan solan kepada Zaid, “Di bahagian mana ibu awak bertugas?” Dia hanya tersenyum tanpa jawapan. Tetapi timbul kehairanan, kalau Ummu Zaid seorang kakitangan, bila masa dia buat kerja di pejabat sebab seimbas pemerhatian saya memang setiap masa dia ada bersama Zaid!

Kemusykilan ini saya bisikkan dengan seorang teman lain. Rupanya Zaid ini adalah anak tunggal, yatim setelah kematian bapa. Hanya dia dan ibunya di rumah, tiada saudara-mara yang lain. Bagi ibunya, hanya Zaid satu-satunya permata hati. Kepada anak yang seorang inilah ditumpahkan segalanya.

Kasih sayang yang melampau menjadikan Ummu Zaid seorang ‘over protective mother’. Setiap langkah Zaid dituruti. Pernah saya melihat seorang pensyarah menegur perlakuannya, mungkin terasa rimas dengan kewujudan Ummu Zaid pada setiap masa memerhatikan anaknya ini di setiap tempat. Datangnya setiap hari sebelum jam 8.00 pagi. Pulangnya selepas jam 5 petang.

Saya menjangkakan bila kami semakin meningkat tahun pengajian atau dengan erti lain kami semakin dewasa, kebiasaan Ummu Zaid ini akan berkurangan. Rupanya tidak, ibu yang terlalu sayangkan anaknya ini tetap istiqamah datang dan pulang dari kuliah setiap hari bersama anak tunggalnya, sehinggalah 5 tahun tempoh pengajian kami. Mungkin beliau satu-satunya ibu di dunia yang melakukan rutin sedemikian.

Pernah saya bergurau, “Mak Cik… boleh tak saya nak ajak Zaid pergi main bola lepas kuliah nanti?” Kebetulan di Saddam Medical City, ada satu gelanggang macam gelanggang futsal lebih kurang, kadang-kadang kami bersukan bersama-sama selepas habis sesi klinikal. “Tak boleh wahai anakku… nanti jatuh, luka. Siapa yang susah… Mak Cik tak ada orang lain lagi di dunia ini selain Zaid..” Jawab Ummu Zaid serius.

Pernah saya terfikir… Apa akan jadi dengan temanku nanti, bagaimana beliau akan menjadi dewasa? Nanti dia akan menerima ijazah, bekerja, berkahwin dan… apakah ibunya akan terus mengawasi dia dengan ketat? Mampukah beliau berdikari sebab mengikut pemerhatian saya, nak minum segelas air di kantin pun, ibunya akan membelikan untuknya! Sekeping nota nak fotostate pun, ibunya akan tolong.

Syukur kepada Allah. Kami sama-sama menamatkan pengajian. Pengorbanan ibunya boleh dikira sebagai berbaloi. Teman saya Zaid muncul sebagai antara 10 pelajar terbaik. Di sana, 10 yang terbaik akan terus direkrut sebagai tenaga pengajar di Universiti. Hubungan kami terputus dari saat kepulangan saya tahun 1999 sehinggalah dunia FB mendekatkan yang jauh. Sebahagian besar dari teman-teman sekuliah berjaya dihubungi semula kira-kira 2 tahun lepas.

Dari mereka saya mendapat khabar duka, Zaid Ghazi Solleh telah kembali kerahmatullah kira-kira 3 tahun lepas akibat penyakit lelah. Ibunya menyusul tidak lama selepas itu. Tidak dapat saya gambarkan, bagi hakikat Ummu Zaid menerima hakikat kematian anaknya… Semoga Allah merahmati ibu yang berhati mulia ini walaupun kita mungkin mempunyai pelbagai tafsiran dengan apa yang beliau telah lakukan. http://www.drazmanibrahim.com