Khatan Perdana Jabi Meriah

209

Oleh Hidayah Azlin

SETIU – Seramai 113 kanak-kanak selamat dikhatankan menerusi Program Berkhatan beramai-ramai sempena cuti persekolahan sesi 2018.

Program yang dianjurkan oleh Pemuda PAS Dun Jabi dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Jabi telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan berbanding tahun lepas.

Ketua Pemudanya, Ustaz Norden Abdullah berkata program ini merupakan acara tahunan dan tahun ini kali ke 20 pelaksanaannya.

“Walaupun dengan suasana pemerintahan baru, kita tidak menyediakan perkhidmatan percuma tetapi menawarkan harga yang amat berpatutan.”

Menurut beliau juga, bagi menyelami konsep keadilan yang sebenar, perkhidmatan percuma disediakan kepada anak yatim dan golongan yang tidak berkemampuan sahaja.

“Alhamdulillah, seramai 13 orang yang dapat kita tanggung pada kali ini dan InshaAllah, akan diteruskan lagi pada sesi akan datang.”

“Adil bermaksud kita meletakkan sesuatu pada keperluan yang sebenar dan adil bukan bermaksud beri kepada semua orang.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Kem Tahsin Solat di Jabi, kelmarin.

“Saya berharap untuk masa akan datang, kita mendapat sambutan yang lebih dari rakyat khususnya dari Dun Jabi.”

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim dan Penghulu Mukim, Azam Awang Ali.

Kelainan yang dibawa dalam program kali ini adalah dengan siraman air bomba oleh Dr Azman memeriahkan lagi suasana dan menghilangkan kegusaran anak-anak.