Khairunnisa’ Hasilkan 1600 Kilogram Lada Sepanjang PKP

249

Oleh :Azizah Mahmood

SETIU -Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu PAS (Khairunnisa’) telah berjaya menghasilkan 1600 kilogram (kg) lada menerusi 540 batang pokok di kebun milik mereka di Batu Rakit.

Setiausaha Kehormatnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata kebun seluas dua ekar yang terletak di Mengabang Lekor itu telah diusahakan sejak 16 Mac 2020.

“Amat beruntung jika kita berbudi pada tanah hasilnya tetap ada, contohnya Khairunnisa’ sendiri mengusahakan tanah kosong dan terbiar seluas dua ekar pada awal pandemik Covid-19 melanda,” katanya.

Beliau yang juga Naib Ketua Muslimat Negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa mengadakan Lawatan Muslimat Kuala Terengganu bersama Lajnah Asas Tani Dan Alam Sekitar(LATAS) ke kebun tersebut di sini pada 30 Jun.

Sehubungan itu, ketua rombongannya, Shamsiah Abu Bakar berharap dengan kunjungan itu dapat menyuntik semangat kepada LATAS, Muslimat Kuala Terengganu untuk terus berusaha mengorak langkah menanam secara komersial.

” Kita harapkan janganlah kita hadir sekadar mengambil ilmu tetapi perlu diterjemahkan dengan kerja buat dan aktiviti” tambahnya yang juga Ketua Muslimat PAS Kuala Terengganu.

Anggota rombongan tersebut turut diberi taklimat penanaman oleh pekerja yang menguruskan kebun berkenaan Rosmanizam Mohamed, 43 dengan dibantu oleh Suhaimi Mohd Nor yang mempunyai 12 tahun pengalaman dalam penanaman lada.